Hanya dua generasi terdahulu wabak polio mengakibatkan kematian dan kecacatan kekal kepada penghidapnya. Tetapi pihak WHO minggu lalu telah mengumumkan dua pertiga strain wabak ini telah akhirnya berjaya dihapuskan. Strain wild poliovirus type 3 (WPV3) ialah yang kedua berjaya dihapuskan selepas wild poliovirus type 2 (WPV2) diumumkan berjaya dihapuskan pada tahun 2015.

Malaysia diumumkan bebas polio sejak tahun 2000 dengan kes terakhir dilaporkan pada tahun 1992. Program Imunisasi Negara sejak 1972 telah berjaya menghapuskan beberapa penyakit berbahaya di negara kita. Malahan pada pembentangan Belanjawan 2020 yang lalu, kerajaan memperuntukkan 60 juta untuk program vaksinasi pneumokokal percuma.
Malang sekali sejak akhir-akhir ini muncul pula pergerakan anti vaksin yang mengakibatkan kematian puluhan kanak-kanak akibat penyakit diphteria.


