Hussamuddin terima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan

16 Nov 2019 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

ARAU - Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Istiadat Konvokesyen ke-14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut Hussamuddin, anugerah ini memberi impak yang besar kepada beliau dan industri media.

Katanya, beliau mengharapkan UniMAP mampu melahirkan graduan yang selari dengan kehendak industri pada masa kini.

Hussamuddin yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik lahir di Kota Bharu, Kelantan.

Allahyarham bapanya sangat mementingkan pendidikan demi masa depan dan telah membuka sebuah kedai buku.

Hussamuddin bertanggungjawab menjaga kedai buku milik bapanya dan keadaan ini membuatkan minat beliau untuk membaca semakin meningkat.

Semasa melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hussamuddin telah menubuhkan sebuah syarikat atas nama Koparaseni Karangkraf dengan tujuan menganjurkan konsert pada cuti semester.

Hasil pendapatan yang diperoleh daripada penganjuran konsert, beliau telah membuat pelaburan dalam bidang penerbitan buku.

Buku utama diterbitkan ialah buku ulasan Sejarah Melayu untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selepas tamat pengajian UKM pada tahun 1978, beliau ditawarkan bekerja di Bank Bumiputera Malaysia Berhad.

Namun begitu minat yang mendalam dalam bidang penulisan menyebabkan beliau meletak jawatan pada 1987 dan menumpukan pada perniagaan.

Beliau mula membuka dengan syarikat atas nama syarikat Karangkraf Sdn Bhd dan kini dikenali Kumpulan Media Karangkraf di mana telah banyak menabur bakti kepada komuniti dengan menggunakan platform media.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Ilmu Kampus UniMAP Pauh Putra hari ini.