TA Research positif terhadap prospek segmen pembungkusan Scientex didorong pemulihan ekonomi secara beransur-ansur
azan
21/09/2023 - 10:29
KUALA LUMPUR 21 Sept - TA Research mengunjurkan prospek segmen pembungkusan Scientex Berhad menjadi lebih baik didorong pemulihan ekonomi negara secara beransur-ansur.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu melihat, kelemahan permintaan berterusan hingga 1QFY24 disebabkan pelarasan inventori yang dibuat pelanggan bagi melindung nilai daripada risiko pasaran.
Katanya, margin keuntungan FY23 akan berada pada paras 7.9% tidak termasuk kerugian rosot nilai sebanyak RM22.7 juta.
"Scientex mungkin tidak akan menerima sebarang manfaat daripada pengurangan kos resin, memandangkan berlakunya tambahan kos selain kontrak tempahan.
"Namun begitu, kami menjangkakan pemulihan margin melalui penggunaan kemudahan solar dipercepatkan di tapak pembuatan dan pengeluaran automatik untuk mengurangkan kos buruh dan utiliti," katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan segmen hartanah kumpulan itu kekal kukuh berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil dan keadaan inflasi.
Kadar pengambilan untuk FY23 berada pada sekitar 85% berikutan pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah sehingga RM2.1 bilion.
"Pada FY24 syarikat itu bersedia untuk melancarkan projek perumahan mampu milik sebanyak dengan GDV sekitar RM2.6 bilion selain meluaskan bank tanahnya dengan peruntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM1 bilion.
"Kami bagaimanapun menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.95 sesaham," katanya. - DagangNews.com

