TA Securities: Aktiviti operasi semakin perlahan punca untung Steel Hawk susut 75% bagi suku pertama

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 11:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities: Aktiviti operasi semakin perlahan punca untung Steel Hawk susut 75% bagi suku pertama Image from: TA Securities: Aktiviti operasi semakin perlahan punca untung Steel Hawk susut 75% bagi suku pertama amree20/05/2026 - 11:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Momentum pertumbuhan Steel Hawk Berhad yang semakin perlahan menjejaskan prestasi kewangannya bagi suku pertama tahun kewangan 2026, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi lemah itu disebabkan kelewatan pelaksanaan banyak projek dan persekitaran perbelanjaan modal (capex) industri minyak dan gas (O&G) yang lebih ketat.


Justeru, ia menurunkan penarafannya daripada 'beli' kepada 'pegang' dan mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 23 sen sesaham berbanding 41 sen sebelum ini, susulan prestasi jauh di bawah jangkaan.


"Untung bersih Steel Hawk bagi tempoh tiga bulan pertama FY26 jatuh 75% kepada RM2 juta, mewakili sekitar 9% daripada unjuran penuh tahun kewangan semasa," kata TA Securities dalam analisisnya.


Katanya, kelemahan itu berpunca akibat aktiviti operasi lebih perlahan susulan bil kemajuan rendah daripada projek sedang berjalan selain kelewatan permulaan projek baharu yang sudah diperoleh.


Ujarnya, pendapatan suku pertama FY26 juga merosot 60.5% tahun ke tahun (YoY) disebabkan faktor kelembapan aktiviti operasi keseluruhan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam nota penyelidikan.


TA Securities menambah, keuntungan sebelum cukai (PBT) teras kumpulan kejuruteraan dalam pelbagai perkhidmatan O&G tersebut, turut didapati menjunam 75.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.


"Secara suku ke suku (QoQ) pula, kami mendapati yang pendapatan Steel Hawk susut kira-kira 44.8% manakala PBT teras merosot sebanyak 53.6% berikutan faktor operasi yang sama," katanya lagi.

 

Steel Hawk_DagangNews2026



Susulan prestasi lebih lemah daripada jangkaan, firma itu menurunkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 antara 1.4% hingga 25.6%, selain juga mengurangkan unjuran keuntungan FY26 sebanyak 43.3%.


Menurut TA Securities, prospek jangka pendek masih dipengaruhi langkah pengoptimuman kos oleh PETRONAS dan pelepasan kerja lebih perlahan dalam suasana perbelanjaan industri yang berhati-hati.


Bagaimanapun, firma itu berkata Steel Hawk masih pada kedudukan baik memanfaatkan peluang menerusi strategi kepelbagaian perniagaan utiliti, infrastruktur, prasarana digital dan kerja industri.


“Langkah ini membolehkan kumpulan tersebut berupaya mengembangkan lagi keupayaan kejuruteraan dan pelaksanaan pelbagai projek di luar sektor tradisional O&G diusahakannya selama ini,” katanya.


Selain itu ujar TA Securities, syarikat itu memiliki buku tempahan terkumpul RM159.1 juta yang dijangka memberi keterlihatan hasil sehingga FY28 apabila projek dilaksanakan secara berperingkat.


Setakat 31 Mac 2026, Steel Hawk menguruskan 15 kontrak termasuk enam kontrak panggilan berterusan yang menyediakan jaminan aliran pendapatan berulang dalam segmen huluan, pertengahan dan hiliran.


Tambahnya, aktiviti berkaitan seperti kerja pembinaan dan pengubahsuaian, operasi jarak jauh, pembaikan struktur serta bekalan tenaga kerja masih menjadi penyokong utama asas pendapatannya.


"Secara keseluruhan, asas syarikat ini adalah stabil kerana sifat perniagaannya yang kritikal dalam memastikan  kelancaran operasi PETRONAS sebelum ini," jelas TA Securities. - DagangNews.com

Terkini standard