TA Securities hentikan liputan ke atas N2N Connect berikutan rancangan pertumbuhan kurang daya tarikan
diyana
07/11/2023 - 09:53
KUALA LUMPUR 7 Nov - TA Securities menghentikan liputan ke atas N2N Connect Berhad kerana daya tarikan yang kurang memberangsangkan dalam rancangan pertumbuhannya.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) 35 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sasaran sebanyak 17 kali terhadap pendapatan sesaham (EPS) 2024.
Susulan pertemuan dengan pengurusan N2N baru-baru ini, firma itu mendapati bahawa profil pendapatan syarikat penyelidik dan pembangun pakej perisian itu telah stabil dengan gabungan pendapatan berulang yang lebih kukuh (sekitar 90%) berbanding pendapatan berubah-ubah (sekitar 10%).
“Diterajui oleh profil pendapatan yang kebanyakannya berulang, kami menjangkakan prestasi N2N dalam separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) serupa dengan 1HFY23. Sehubungan itu, kami juga mengekalkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23) dan keuntungan bersih teras pada RM99.1 juta (-3.8% YoY) dan RM8.2 juta (-46.4% YoY),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengikut pasaran, firma tersebut berkata Malaysia dan Hong Kong kekal sebagai penyumbang utama N2N kerana masing-masing menyumbang kira-kira 40% daripada pendapatan kumpulan.
Pengurusan berkongsi bahawa untuk Malaysia, pemacu untuk perniagaan sedia ada termasuk permintaan pelanggan untuk naik taraf sistem.
Bagi Hong Kong, untuk mengurangkan kesan langganan terminal maklumat kewangan yang lebih rendah, usaha sedang dijalankan untuk mengalihkan pelanggan kepada model perkhidmatan terurus.
Selain itu, TA Securities mendapati bahawa dalam jangka dekat hingga sederhana , pemangkin berpotensi untuk N2N termasuk pelancaran Hab Dagangan Asia (untuk memulakan fasa perintis pada suku pertama 2024), dan platform dagangan baharu (untuk dilancarkan pada separuh kedua 2024).
“Hab Dagangan Asia akan memanfaatkan rangkaian luas broker N2N di seluruh Asia untuk memudahkan dagangan rentas sempadan merentasi bursa berkaitan dengan lancar dan pada kos lebih rendah.
“Kami menjangkakan perdagangan rentas sempadan sedemikian menawarkan peningkatan dan kepelbagaian kepada pendapatan berasaskan urus niaga kumpulan, yang hari ini sebahagian besarnya tertumpu di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, TA Securities berkata platform dagangan baharu dan dipertingkat direka untuk menawarkan pengguna pengalaman lebih intuitif, termasuk keupayaan untuk pengguna menjalankan perdagangan kependaman ultra-rendah, satu ciri yang dijangka menarik minat pedagang yang mencari kelebihan daya saing.
“Jika tawaran nilai tambah diterima dengan baik oleh pelanggan, kami juga menjangkakan tawaran itu menunjukkan peningkatan kepada hasil perkhidmatan terurus kumpulan,” tambahnya.
Setakat pukul 9:51 pagi ini, saham N2N tidak berubah pada 44.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM248.4 juta. - DagangNews.com

