TA Securities jangka jumlah jualan sarung tangan terus catat peningkatan secara beransur-ansur
azan
03/07/2024 - 16:45
KUALA LUMPUR 3 Julai - TA Securities menjangkakan jumlah jualan sarung tangan terus meningkat secara beransur-ansur terutama selepas stok simpanan pelanggan mula berkurangan.
Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya menjangkakan permintaan akan kembali ke tahap pra pandemik disokong piawaian yang lebih ketat serta kesedaran kebersihan yang lebih tinggi dalam sektor perubatan serta perindustrian.
Katanya, pada masa ini, jumlah jualan untuk syarikat di bawah liputan firma itu masih dalam lingkungan 30% hingga 50% di bawah paras pra pandemik tetapi berada di landasan tepat untuk kembali ke tahap normal menjelang akhir 2025.
"Jualan sarung tangan Malaysia dijangka berkembang dengan baik kerana pengeluar dari China sudah beroperasi pada kapasiti penuh.
"Pengembangan kapasiti di China dijangka tidak berlaku kerana kenaikan tarif yang tinggi terhadap sarung tangan perubatan dari China bermula 2026," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pada suku kedua 2024, purata harga jualan (ASP) sarung tangan nitril menyusut kepada AS$16.8 bagi 1,000 keping berbanding AS$19 pada suku kedua tahun lalu disebabkan persaingan sengit daripada pengeluar saung tangan China.
Katanya, mereka mendapati bahawa perbezaan ASP antara China dan Malaysia adalah sekitar AS$2 bagi setiap 1,000 sarung tangan.
"Kami menjangkakan ASP sarung tangan Malaysia bertambah baik pada masa hadapan disokong oleh kenaikan kos bahan mentah pada separuh kedua tahun ini, persaingan harga yang sukar dijangka kerana pengeluar China beroperasi pada kapasiti penuh dan pelanggan Amerika Syarikat (AS) mungkin mula beralih kepada pengeluar sarung tangan Malaysia.
"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kami menjangkakan industri itu akan pulih pada separuh kedua 2024, didorong oleh kecekapan operasi yang lebih baik, jumlah yang lebih tinggi serta ASP yang lebih baik," katanya.
TA Securities berkata, Hartalega Holdings Bhd (TP: RM3.68) merupakan pilihan utama dalam sektor itu kerana kualiti pengurusan yang baik dan kuci kira-kira yang ihat dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.4 bilion.
"Kami percaya kumpulan itu akan menjadi lebih kukuh berikutan penutupan kilang Bestari Jaya pada suku pertama 2024," katanya.
Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan sektor sarung tangan kepada 'neutral' berbanding 'overweight'. - DagangNews.com



