liza12/05/2026 - 11:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei – Duopharma Biotech Berhad diyakini terus mencatat prospek pertumbuhan stabil disokong oleh permintaan kerajaan yang kukuh, pengembangan eksport serta margin keuntungan yang dijangka kekal mampan dalam beberapa tahun akan datang, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu juga turut mengekalkan saranan “Beli” ke atas Duopharma Biotech Berhad dengan harga sasaran RM1.69 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 30.3% berbanding harga semasa RM1.30.
Harga sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan penilaian 15.0 kali EPS tahun kewangan 2027 (CY27) serta premium ESG sebanyak 3% yang menunjukkan keyakinan TA Securities terhadap prospek jangka sederhana syarikat.
Fima itu berkata, dari sudut operasi, kesan konflik geopolitik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran terhadap syarikat dijangka minimum, meskipun terdapat risiko kenaikan harga minyak yang boleh meningkatkan kos bahan mentah seperti Active Pharmaceutical Ingredients (API), pembungkusan dan diesel.
“Ini kerana API menyumbang kira-kira 55% daripada jumlah kos pengeluaran syarikat, namun kesannya dijangka terkawal susulan penampan inventori antara tiga hingga enam bulan serta sokongan daripada kekuatan Ringgit.
“Namun, risiko masih wujud sekiranya harga minyak dan API terus meningkat dalam tempoh lebih panjang, khususnya kerana kemampuan syarikat untuk menaikkan harga adalah terhad dalam segmen kerajaan.
“Dalam konteks ini, Duopharma hanya mempunyai ruang pelarasan harga yang lebih fleksibel bagi produk di pasaran swasta, manakala segmen kerajaan kekal tertakluk kepada struktur perolehan sedia ada,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Dari segi prestasi suku pertama FY2026, syarikat dijangka mencatatkan penurunan jualan tahun ke tahun berikutan asas perbandingan yang tinggi pada 1Q25 yang dipacu oleh lonjakan pesanan insulin tertunggak.
Namun begitu, TA Securities berkata prospek keseluruhan FY2026 kekal positif dengan jangkaan pertumbuhan keuntungan sebanyak 18.5% tahun ke tahun, disokong oleh peningkatan jualan merentas semua segmen.
“Segmen kerajaan dijangka terus menjadi penyumbang utama dengan sekitar 53% daripada jumlah hasil, dipacu oleh kontrak dalam Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) bernilai kira-kira RM684.2 juta yang akan berakhir pada Disember 2026.
“Selepas tamat kontrak tersebut, kami menjangkakan kontrak APPL baharu yang akan diperoleh syarikat berpotensi melebihi nilai semasa, sekali gus menyokong kesinambungan pendapatan,” kata TA Securities.
Strategi eksport pula terus diperkukuh dengan tumpuan kepada pasaran lebih stabil seperti Afrika dan Asia Tengah, selain usaha memperluaskan penyertaan tender di ASEAN dan Asia Pasifik bagi mengurangkan risiko gangguan penghantaran.
Rantau ASEAN kekal dominan dengan menyumbang sekitar 89% daripada jumlah eksport syarikat, menjadikan rantau ini antara pemacu utama pertumbuhan jangka panjang.
Dari sudut semakan unjuran, TA Securities menaikkan ramalan pendapatan FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 2.2%, 1.2% dan 1.2% selepas mengambil kira prestasi kewangan terkini serta keputusan diaudit FY2025.
Margin keuntungan kasar pula dijangka kekal stabil sekitar 39% bagi FY2026, disokong oleh kecekapan operasi serta pengurusan kos yang berkesan.
Dalam aspek kewangan, syarikat turut mencatat kedudukan leverage yang sihat dengan nisbah hutang bersih dijangka menurun kepada sekitar 0.1 hingga 0.2 kali dalam tempoh jangka sederhana, disokong oleh aliran tunai operasi yang kukuh.
Aliran tunai operasi juga dijangka kekal positif dengan peningkatan berperingkat seiring pertumbuhan keuntungan dan pengurusan modal kerja yang lebih efisien.
Secara keseluruhan, Duopharma Biotech Berhad dilihat berada dalam kedudukan stabil dengan gabungan faktor pertumbuhan pendapatan, kekuatan kontrak kerajaan, strategi eksport yang lebih meluas serta asas kewangan yang kukuh, sekali gus mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham syarikat tersebut. - DagangNews.com






