
KUALA LUMPUR 9 Dis – TA Securities memulakan liputan ke atas CAB Cakaran Corporation Berhad dengan cadangan Beli dan menetapkan sasaran harga RM0.89 sesaham yang memberikan potensi kenaikan harga sebanyak 43.4% dari harga semasa RM0.62.
CAB Cakaran merupakan salah satu daripada tiga pengeluar ayam bersepadu utama di Malaysia dengan operasi meliputi segmen pengeluaran ayam, pemprosesan makanan, serta operasi pasar raya dan restoran F&B di bawah jenama Kyros Kebab.
TA Securities berkata, CAB Cakaran juga menyediakan perkhidmatan dron untuk sektor kelapa sawit.
“Segmen ayam bersepadu kekal sebagai penyumbang utama hasil syarikat, iaitu sebanyak 93.5% bagi FY25. Aktiviti huluan meliputi penternakan baka ayam hingga broiler, pengeluaran DOC (day-old chicks), serta pengedaran ayam dan makanan ternakan kepada pihak ketiga.
“CAB Cakaran kini mengendalikan lebih 10 ladang baka dan 100 ladang broiler di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti 6.5 juta ekor sebulan,” katanya dalam satu nota kajian.
Segmen pertengahan melibatkan pemprosesan ayam dan pengeluaran produk lain seperti nugget, sosej dan bebola daging. Produk CAB Cakaran dipasarkan di restoran francais, hotel, pasar raya, dan kedai runcit di Malaysia serta Singapura.
CAB juga mempunyai bahagian runcit dengan operasi 19 pasar raya sederhana di kawasan luar bandar seperti Kelantan, Kedah, Kuantan, Perlis, dan Pulau Pinang.
Sementara itu, bahagian makanan segera Kyros Kebab kini mempunyai enam outlet di Kuala Lumpur dan Selangor.
Dalam usaha memperkukuh kos dan integrasi huluan, CAB Cakaran telah mengambil alih Cargill Feed Sdn Bhd (CFSB) pada November 2025 dengan bayaran tunai RM231 juta.

TA Securities berkata, pengambilalihan ini membolehkan CAB Cakaran mengeluarkan makanan ternakan sendiri, mengurangkan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga, dan menstabilkan kos bahan mentah seperti jagung dan soya.
CFSB kini mempunyai empat loji pengeluaran di Butterworth, Westport, Melaka, dan Sabah dengan kapasiti gabungan 31,200 tan sebulan.
“Kapasitinya dijangka meningkat kepada 66,000 tan sebulan menjelang 2027, dengan kira-kira 45% untuk kegunaan dalaman CAB dan selebihnya untuk pasaran luar.
“Segmen pemprosesan makanan CAB dijangka berkembang dengan pembukaan loji baharu di Nibong Tebal menjelang 2QFY26, meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 150% kepada 2,500 tan sebulan.
“Pengembangan ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta rancangan pembukaan 25 pasar raya menjelang FY26,” kata firma tersebut.
CAB turut memasuki pasaran Indonesia melalui JV 30:70 dengan Salim Group, salah satu konglomerat terbesar di negara itu.
Fasa pertama melibatkan pembukaan loji pemprosesan makanan di Batam menjelang 2QCY26, manakala fasa kedua akan menubuhkan operasi ayam bersepadu di Pulau Jawa dengan kapasiti 4.5 juta ekor/bulan dan 3 juta telur/hari.
Industri ayam di Malaysia menunjukkan pertumbuhan berterusan, dengan penggunaan ayam per kapita meningkat kepada 49.3 kg pada 2023 menjadikan ayam sebagai protein haiwan paling popular dan kos efektif. - DagangNews.com
