TA Securities nilai harga wajar 99 Speed Mart pada RM1.71 sesaham

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2024 • 11:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities nilai harga wajar 99 Speed Mart pada RM1.71 sesaham

herman

22/08/2024 - 11:23

KUALA LUMPUR 22 Ogos - TA Securities Research memberikan nilai wajar pengendali rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speed Mart) pada RM1.71 sesaham.

Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan 3.63% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.65 sesaham 99 Speed Mart yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 September 2024.

Firma penyelidikan itu berkata, 99 Speed Mart dinilai dengan pendapatan sesaham tahun kewangan 2025 (FY2025) sebanyak 29 kali.

"Kedudukan 99 Speed Mart dominan dalam sektor runcit Malaysia, yang dibuktikan dengan rangkaian luas melebihi 2,500 cawangan dan pengenalan jenama yang kukuh.

"Selain itu, pertumbuhan hasil kumpulan yang konsisten, kecekapan operasi, prestasi kewangan yang kuat, dan pengembangan strategik dalam pasaran kedai serbaneka yang sedang berkembang menyokong penilaian premium ini. Tidak Dinilai," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, TA Securities menganggarkan pertumbuhan jualan tahun kewangan 2024-2026 (FY24-26) antara 4.7% hingga 7.6%, yang dipacu oleh pengembangan cawangan kepada kira-kira 3,246 menjelang FY26.

Firma penyelidikan itu juga meramalkan keuntungan bersih pengendali pasar mini ituakan meningkat sebanyak 11.4%/10.6%/11.5% masing-masing pada FY24/25/26.

Secara keseluruhan, unjuran FY24-26F kami berdasarkan andaian utama berikut iaitu industri runcit berasaskan barangan runcit dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 5 tahun sebanyak 5.7% dari 2024 hingga 2028.

"Margin untung selepas cukai meningkat secara beransur-ansur kepada 4.6%/4.9%/5.0% pada FY24/25/26F, disebabkan oleh strategi pengoptimuman kos.

"Jumlah cawangan adalah 2,788/3,000/3,246 pada FY24/25/26F (berbanding 2,542 pada FY23)," ujarnya.

Pada FY23, pendapatan 99 Speed Mart meningkat kepada RM9.2 bilion daripada RM7.8 bilion pada FY21, dengan mencatatkan CAGR sebanyak 8.4%. - DagangNews.com