TA Securities nilai saham Well Chip bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada RM1.82
herman
09/07/2024 - 11:57
KUALA LUMPUR 9 Julai - TA Securities menetapkan nilai saksama RM1.82 bagi Well Chip Group Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia berdasarkan nisbah harga pendapatan (PER) tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 19.5 kali.
Menurut firma penyelidikan itu, pelan pengembangan Well Chip kepada 30 cawangan daripada 23 buah ketika ini membolehkan prospek pertumbuhan pendapatan yang lebih mantap kepada syarikat tersebut.
"Sebagai syarikat pajak gadai yang pertama disenaraikan di Pasaran Utama, Well Chip mendapat kelebihan daripada langkah awal (berbanding syarikat lain)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Securities menganggarkan kumpulan ini akan mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 13.4% YoY kepada RM40.1 juta pada FY24 berdasarkan jangkaan peningkatan pendapatan sebanyak 11%.
Katanya, peningkatan pendapatan yang lebih kukuh adalah disokong oleh jangkaan margin keuntungan kasar yang lebih stabil dalam segmen gadai dan peruncitan.
"Kami meneruskan untuk meramalkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 11-12% setahun dalam FY25 dan FY26, yang disokong oleh pembukaan cawangan baru di Johor dan Melaka," jelasnya.
TA Securities turut menjangkakan peningkatan pinjaman gadai yang dipercepat oleh modal tunai tambahan yang diperoleh daripada IPO, yang membolehkan Well Chip menawarkan lebih banyak pinjaman gadai kepada pelanggan mereka.
"Kami menganggarkan bahawa perniagaan peruncitan akan terus sihat, didorong oleh peningkatan permintaan untuk emas dan produk mewah serta kenaikan harga emas," ujarnya.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pajak gadai melalui rangkaian 23 kedai pajak gadai yang terletak di Johor.
Well Chip dianggarkan menguasai 36.1% bahagian pasaran di Johor menjadikannya pemegang pajak gadai terbesar di negeri itu.
Well Chip yang turut terlibat perdagangan barang kemas menyasarkan untuk mengumpul RM172.5 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Menurut prospektusnya, harga IPO ialah RM1.15 sesaham.- DagangNews.com

