TA Securities sedikit negatif ke atas usaha Coastal Contracts ceburi sektor pelancongan tanpa pengalaman
diyana
15/03/2024 - 14:03
KUALA LUMPUR 15 Mac - TA Securities sedikit negatif terhadap hasrat Coastal Contracts Berhad untuk menceburi sektor hospitaliti dan pelancongan menerusi pengambilalihan 82% kepentingan dalam Jewel of Mabul Development Sdn Bhd (JOMD) berharga RM18.98 juta.
“Kami memuji usaha Coastal untuk mengembangkan sumber pendapatannya bagi menggantikan beberapa kontrak yang telah tamat tempoh.
“Namun begitu, kami berhati-hati terhadap langkah tersebut kerana Coastal tiada pengalaman dalam sektor ini dan risiko pelaksanaan yang berkaitan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, JOMD yang memiliki tanah 31.2 hektar di Pulau Mabul telah mencatat kerugian bersih RM487,000 pada tahun kwangan berakhir Mac 2023, sementara aset bersihnya bernilai RM4.6 juta dan nilai buku bersih bagi perbelanjaan pembangunan tanah dan hartanah adalah RM18.1 juta.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, anak syarikat kumpulan terbabit, Costal Hospitality Holdings Sdn Bhd akan menyuntik tambahan RM50 juta ke dalam JOMD melalui langganan saham untuk menyiapkan fasa pertama projek resort itu, dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank, di mana bahagiannya belum ditentukan.
Firma itu berkata pengurusan Coastal Contracts merancang untuk memberikan butiran lanjut tentang jangka masa pembinaan dan kapasiti fasa pertama pembangunan resort ketika taklimat penganalisis pada 20 Mac 2024.
Tiada perubahan pada ramalan pendapatan sementara menunggu perincian daripada taklimat tersebut, tambahnya.
“Berikutan keputusan Coastal untuk menceburi sektor pelancongan, kami memberikan diskaun konglomerat sebanyak 5% kepada penilaian.
“Kami mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.76 sesaham daripada RM1.85 sebelum ini.
“Coastal kini berdagang pada pendapatan sesaham (EPS) FY24 9 kali ganda tetapi terdapat kebimbangan mengenai kemampanan pendapatan kerana beberapa kontraknya akan tamat secara beransur-ansur tanpa diganti,” ujar firma itu. - DagangNews.com

