TA SmarTrade mudahkan rakyat Malaysia akses pelaburan global

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2025 • 10:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA SmarTrade mudahkan rakyat Malaysia akses pelaburan global

image is not available

11/08/2025 - 10:27

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos – TA Securities Holdings Bhd telah melancarkan TA SmarTrade, platform dagangan generasi baharu yang direka khas untuk memudahkan pelabur dari Malaysia mencapai akses ke pasaran saham global.

Platform berasaskan mudah alih tersebut membolehkan pelaburan dilakukan di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong, manakala akses ke pasaran Singapura dijangka menyusul tidak lama lagi.

Integrasi dengan Bursa Malaysia juga dirancang pada fasa seterusnya bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat dagangan sehenti.

Dibina dengan konsep “Mengangkat Gaya Hidup Melalui Pelaburan”, TA SmarTrade membolehkan individu membuat keputusan kewangan selaras dengan matlamat hidup mereka sama ada membeli rumah, melancong atau merancang masa depan.

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan TA Enterprise, Andrew Leong berkata, menjelang 2026, TA SmarTrade dijangka memperluaskan capaiannya ke bursa antarabangsa lain termasuk Jepun dan Australia, selain memperkenalkan ciri baharu untuk menambah pengetahuan serta penglibatan pelabur dengan lebih efisien.

“Seiring pelancaran ini, TA Securities menawarkan kadar broker kompetitif untuk pasaran AS, serendah AS$2.88 (RM12.22) menjadikannya pelaburan global lebih mudah diakses dan kos yang sangat efektif bagi rakyat Malaysia.

“Pelaburan global sejak sekian lama dilihat rumit dan sukar dicapai bagi ramai rakyat Malaysia. Oleh itu, TA SmarTrade mengubah perkara itu dengan menggabungkan kesederhanaan, kelajuan dan alat pintar untuk memperkasakan pelabur di setiap peringkat,” katanya.

Tambahnya, dengan platform itu serta panduan dan sokongan yang tepat, sesiapa sahaja boleh mengembangkan kekayaan dan dapat mencapai impian untuk menikmati kebebasan kewangan.

Bagi meraikan pelancaran ini, TA Securities menganjurkan kempen Open New Account, Free Gold! dengan tawaran sehingga lima kilogram emas bernilai kira-kira RM3 juta kepada 1,000 pelanggan pertama yang layak.

Kempen tersebut bermula Jumaat lalu dan akan berlangsung sehingga 8 Ogos 2026. - DagangNews.com

standard