MALAYSIA dibina atas kekuatan kepelbagaian. Kepelbagaian bangsa, bahasa dan budaya bukan sekadar realiti sosial, tetapi menjadi asas kepada identiti negara.
Namun perpaduan tidak terbentuk dengan sendiri. Ia perlu dipupuk, dibimbing dan disemai sejak usia yang paling awal.
Atas kesedaran inilah kerajaan menubuhkan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak yang bukan sahaja memberi asas pembelajaran, tetapi menjadi tapak penting dalam membina generasi Malaysia yang memahami, menghormati dan menghargai kepelbagaian.
Tabika Perpaduan mula diwujudkan pada tahun 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat, Lembaga Perpaduan Negara.
Pada peringkat awal, sebanyak 25 buah kelas Tabika Perpaduan diwujudkan sebagai projek rintis di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi memperkukuh hubungan antara kaum melalui pendidikan awal.
Daripada usaha kecil yang berteraskan semangat perpaduan itu, Tabika Perpaduan berkembang pesat sehingga menjadi antara jaringan pendidikan prasekolah yang penting di negara ini.
Sehingga September 2025, terdapat sebanyak 1,781 kelas Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,008 orang.
Lebih membanggakan, pendidikan di Tabika Perpaduan diberikan sepenuhnya secara percuma tanpa sebarang yuran pendaftaran, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan semua kanak-kanak berpeluang mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial keluarga mereka.
Penubuhan Tabika Perpaduan juga dirancang secara sistematik bagi memastikan persekitaran pembelajaran benar-benar mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Antara syarat pembukaan kelas ialah kawasan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 200 unit rumah atau 500 penduduk, mempunyai premis yang sesuai dan selamat yang mampu menampung sekurang-kurangnya 25 orang kanak-kanak serta kawasan yang mempunyai kanak-kanak daripada pelbagai kaum.
Tabika ini memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun, iaitu usia yang sangat penting dalam pembentukan asas pemikiran, sikap dan nilai kehidupan.
Pendekatan pengajaran di Tabika Perpaduan juga dirangka melalui beberapa modul khusus yang memberi penekanan kepada pembangunan holistik kanak-kanak.
Antaranya ialah Modul Pendidikan Rukun Negara turut dilaksanakan bagi memberi pengetahuan dan kefahaman kepada murid tentang lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
Modul ini dilaksanakan melalui pendekatan yang sesuai dengan tahap kanak-kanak seperti latihan dalam buku Pendidikan Rukun Negara, simulasi, permainan interaktif dan penggunaan bahan bantu mengajar seperti kad imbas serta tayangan video.
Pendekatan ini membantu kanak-kanak memahami nilai hormat, tanggungjawab dan kasih sayang terhadap negara sejak usia yang muda.
Satu lagi keunikan Tabika Perpaduan ialah pelaksanaan Modul Komunikasi Asas Pelbagai Bahasa yang memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang asas komunikasi dalam bahasa etnik utama di Malaysia.
Melalui modul ini, murid diperkenalkan kepada bahasa Mandarin dan Tamil di Tabika Perpaduan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, bahasa Iban di Sarawak serta bahasa Kadazan di Sabah.
Pendedahan ini membolehkan kanak-kanak mengenali bahasa rakan mereka daripada kaum yang berbeza dan secara tidak langsung memupuk rasa hormat serta kefahaman terhadap budaya yang pelbagai.
Inilah yang boleh dianggap sebagai komunikasi asas bahasa ketiga yang menjadi jambatan kepada perpaduan sejak peringkat awal kehidupan.
Bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak, pelbagai program dirancang sepanjang tahun di Tabika dan Taska Perpaduan.
Program seperti Cilik Perpaduan Kembali ke Tabika dan Taska Perpaduan, Menu Sihat Perpaduan, Sukaneka Perpaduan, Sambutan Hari Kanak-Kanak yang merangkumi aktiviti Usahawan Cilik, Senam Harmoni dan Cita-Cita Saya, selain program Pintar Kreatif serta Hari Konvokesyen memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi diri secara menyeluruh.
Selain itu, program Modul Interaktif Perpaduan yang menggunakan smartboard dan aplikasi interaktif turut diperkenalkan bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.
Program seperti Jelajah Tabika Perpaduan Dihatiku dan Sukaneka Perpaduan Prasekolah pula membantu memperkukuh hubungan antara komuniti, ibu bapa serta institusi pendidikan.
Dalam menghadapi era transformasi digital yang berkembang pesat, peranan pendidikan awal kanak-kanak menjadi semakin kritikal bukan sahaja dalam membentuk asas pembelajaran, tetapi juga dalam memupuk jati diri kebangsaan.
Justeru, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah merangka hala tuju Tabika Perpaduan bagi memastikan institusi ini terus relevan dan berdaya saing dalam sistem pendidikan negara.
Antara perancangan utama ialah pembangunan Modul Pendidikan Rukun Negara yang akan dibangunkan bermula tahun 2026 hingga 2027 bersama agensi prasekolah lain dan seterusnya dilaksanakan di semua prasekolah di negara ini.
Modul ini bertujuan memperkukuh penerapan elemen kenegaraan dan perpaduan ke arah membina budaya faham, hormat serta terima dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, latihan berstruktur pendidikan perpaduan melalui pendigitalan juga akan diperkenalkan bagi memperkasa profesionalisme guru Tabika Perpaduan.
Guru-guru akan dilatih menggunakan teknologi seperti smartboard, aplikasi e-pembelajaran dan platform digital seperti Google Classroom, Canva Edu dan Kahoot.
Integrasi teknologi ini akan membolehkan nilai-nilai Rukun Negara dan perpaduan disampaikan melalui pendekatan yang lebih kreatif, interaktif dan sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak.
Kerajaan juga merancang penyediaan smartboard di semua Tabika Perpaduan secara berperingkat bermula tahun 2026 hingga 2028.
Penggunaan smartboard akan membolehkan penyampaian pembelajaran secara visual yang lebih dinamik dan interaktif serta memberi akses kepada sumber pembelajaran digital secara masa nyata.
Hakikatnya, Tabika Perpaduan bukan sekadar institusi prasekolah biasa. Ia adalah ruang pertama di mana kanak-kanak belajar hidup bersama dalam kepelbagaian, memahami perbezaan dan membina persahabatan tanpa prejudis.
Apabila kanak-kanak daripada pelbagai kaum bermain, belajar dan berkomunikasi bersama, mereka sebenarnya sedang membina asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang lebih harmoni serta bersatu.
Masa depan perpaduan negara tidak boleh menunggu sehingga generasi muda dewasa. Ia perlu dibentuk sejak usia empat tahun, ketika nilai kehidupan mula berakar dalam diri seorang anak.
Melalui Tabika Perpaduan, kita bukan sahaja mendidik anak-anak menjadi insan yang berilmu, tetapi juga membina generasi Malaysia yang berjiwa besar, menghormati kepelbagaian dan sentiasa menjunjung semangat perpaduan demi masa depan negara.
*Datuk Aaron Ago Dagang ialah Menteri Perpaduan Negara Malaysia
