Tabung Gas Oksigen Meletup Punca Tiga Beranak Melecur

14 Jun 2023 • 11:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tabung Gas Oksigen Meletup Punca Tiga Beranak Melecur

Dua tabung gas oksigen yang meletup merupakan punca tiga beranak melecur dan terbakar di Taman Industri Ringan Sri Mergong, pada Selasa, lapor Awani.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian berlaku semasa ketiga-tiga mangsa menuju ke lokasi kejadian untuk mengisi tabung gas oksigen bantuan pernafasan atas kegunaan sendiri.

“Berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa beralamat dari Kampung Pinang Pedu, pergi ke lokasi kejadian iaitu di sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22 untuk mengisi dua tabung gas oksigen kegunaan bantuan pernafasan untuk kegunaan sendiri.

“Selesai mengisi gas, mangsa membawa dua tong gas terbabit ke dalam kereta untuk pulang ke Johor iaitu kampung isterinya di Kempas, Johor,” katanya ketika dihubungi Awani.

Jelasnya, mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan parah, Tuah Omar, 54 dan anaknya Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5 telah dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu, isteri mangsa, Noor Azlina Abu Bakar, 34, hanya mengalami kecederaan ringan di tangan dan turut dirawat di hospital yang sama.

Kata Ahmad Shukri, gas terbabit dipercayai meletup secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan jenis Proton Wira itu terbakar.

Tambahnya, bapa dan anaknya mengalami kecederaan serius di bahagian badan manakala isterinya telah dirawat di zon kuning kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

“Namun siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu,” ujarnya.

Semalam, Awani melaporkan tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar.

Kejadian berlaku berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, sekitar jam 12.30 tengah hari.

Kesemua mangsa kemudiannya dirawat di HSB sejurus selepas kejadian itu dan berusia antara lima tahun hingga 54 tahun.

Difahamkan juga, mangsa kanak-kanak mengalami kecederaan melecur 95 peratus, bapanya 80 peratus manakala ibunya pula melecur 30 peratus.

Sumber: Awani