Tabung Haji tidak insolven pada 2017

LocalBusiness & Finance
25 Aug 2026 • 4:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tabung Haji tidak insolven pada 2017

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak berada dalam keadaan insolven pada 2017 kerana institusi itu masih berupaya untuk membayar hutang.

Malah, kedudukan aset TH ketika itu juga melebihi liabilitinya berdasarkan audit Jabatan Audit Negara (JAN).

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, prestasi TH bagi tempoh 2012 hingga 2017 adalah baik.

Katanya, penyata kewangan TH bagi 2017 adalah bersih dengan Penekanan Perkara atau Emphasis of Matter (EOM).

“Tabung Haji tidak insolven pada 2017. Dia boleh bayar hutang. Prestasi Tabung Haji dari tahun 2012 hingga 2017 adalah baik dan penyata kewangannya bersih.

“Hanya pada tahun 2017, bersih dengan EOM,” katanya ketika berucap dalam Musyawarah Nasional bertajuk Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini, hari ini.

Mohd. Irwan berkata, JAN merupakan juruaudit berkanun bagi TH sebagaimana diperuntukkan menerusi undang-undang berkaitan institusi itu.

“Apa yang kita patut pakai? Akta kata pakai JAN. Dia tak kata pakai PwC.Saya tak kata PwC itu salah,” katanya.

Beliau berkata, TH masih mampu memenuhi tanggungannya sekali gus menafikan dakwaan bahawa institusi itu berada dalam keadaan insolven.

“Mana dia Tabung Haji insolvent? Siapa kata Tabung Haji insolven? Boleh bayar hutang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan penilaian terhadap kedudukan kewangan TH antaranya disebabkan penggunaan kaedah yang berbeza.

Katanya, TH dan JAN menggunakan kaedah Realizable Asset Value (RAV), manakala PricewaterhouseCoopers (PwC) menggunakan pendekatan mark-to-market.

“Kedua-dua kaedah ini betul. Saya tidak kata salah. Tetapi keputusannya berlainan.

“Kita tidak boleh membandingkan dua perkara yang berbeza. Apabila metodologi berlainan, hasilnya juga berlainan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Irwan menggesa kerajaan melaksanakan audit komprehensif secara bebas terhadap TH sehingga 2025 bagi mengetahui kedudukan sebenar institusi berkenaan.

“Cadangan kepada kerajaan, buatlah satu audit komprehensif secara bebas. Bukan tempoh 2014 sampai 2017, tapi hingga 2025.

“Barulah kita tahu cerita sebenar. Barulah kita tahu cerita sebenar,” katanya. – UTUSAN

The post Tabung Haji tidak insolven pada 2017 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved