Tabung kutipan Jumaat seluruh Perlis bantu banjir Acheh - MAIPs

19 Dec 2025 • 10:51 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang dikeluarkan oleh MAIPs.

KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kutipan Tabung Jumaat di semua masjid seluruh negeri pada hari ini akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh.

Yang Dipertua MAIPs,Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dalam kenyataan rasmi bertitah bahawa langkah itu diambil sebagai manifestasi semangat ukhuwah Islamiah dan keprihatinan terhadap mangsa bencana di wilayah berkenaan.

“Adalah saya menyeru seluruh umat Perlis yang dikasihi agar bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Acheh.

“Besarlah harapan saya agar sumbangan ikhlas yang dihulurkan akan membantu usaha pemulihan dan pembangunan semula kehidupan saudara kita di sana,” titah baginda.

Baginda yang juga Raja Muda Perlis bertitah, bantuan ini bukan sahaja mencerminkan semangat persaudaraan, malah menjadi bukti keprihatinan masyarakat negeri ini terhadap penderitaan yang dialami mangsa banjir.

Baginda turut menzahirkan doa agar Allah SWT merahmati setiap usaha dan sumbangan yang dihulurkan, serta memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh mangsa dalam menghadapi ujian besar tersebut.