Tahanan Rumah Najib: AGC Nafi Ingkar Titah Agong

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 8:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tahanan Rumah Najib: AGC Nafi Ingkar Titah Agong

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak dakwaan pihaknya mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, AGC berkata, tindakan membawa persoalan berhubung status hukuman penjara Najib ke mahkamah adalah bagi mendapatkan kepastian undang-undang, sekali gus mengelakkan sebarang kesilapan dalam pelaksanaan hukuman dan perintah pengampunan berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan mahupun berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

AGC turut menyifatkan tuduhan bahawa Peguam Negara menghina atau menderhaka kepada Seri Paduka Baginda sebagai tidak berasas.

“AGC memandang serius penggunaan ungkapan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai perbuatan menghina atau menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tuduhan sedemikian tidak berasas memandangkan isu yang dibangkitkan AGC adalah berkaitan persoalan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Menurut AGC, perkara yang memerlukan penjelasan mahkamah bukanlah kesahihan perintah pengampunan bertarikh 18 September 2026, sebaliknya status undang-undang Perintah Pembebasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Persoalannya, sama ada hukuman penjara Najib bagi kes SRC International sudah selesai selepas beliau membayar denda RM50 juta atau masih perlu dianggap berjalan, memandangkan perkara itu turut menentukan bila hukuman penjara bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu bermula.

Pembayaran denda berkenaan menyaksikan Mahkamah Tinggi mengeluarkan Perintah Pembebasan Setelah Pembayaran Denda (Order of Discharge on Payment of Fine), yang membolehkan Najib dibebaskan serta-merta selepas bayaran dibuat.

Bagaimanapun, perintah itu turut menetapkan beliau perlu menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, mengikut syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan.

Keadaan tersebut, menurut AGC, memerlukan penentuan mahkamah sama ada pembebasan berkenaan hanya melibatkan penyelesaian denda dan membolehkan baki hukuman kes SRC International diteruskan di bawah tahanan rumah, atau bermaksud hukuman bagi kes terbabit sudah tamat sepenuhnya.

Persoalan itu turut memberi kesan kepada pelaksanaan hukuman dalam kes 1MDB kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan hukuman berkenaan hanya bermula selepas hukuman bagi kes SRC International selesai dijalani.

Permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman dalam kes 1MDB juga telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu.

“Isu ini mempunyai implikasi undang-undang tersendiri dan tidak wajar diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak semata-mata,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, AGC mengingatkan bahawa kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disamakan dengan bidang kuasa mahkamah dalam menentukan tafsiran serta kesan undang-undang sesuatu perintah.

Justeru, tindakan mendapatkan penjelasan mahkamah bukanlah satu bentuk campur tangan terhadap kuasa pengampunan atau usaha mencabar hak prerogatif Seri Paduka Baginda.

AGC berpandangan hanya mahkamah yang mempunyai bidang kuasa boleh memberikan keputusan muktamad berhubung perkara itu, sekali gus memastikan pelaksanaannya berjalan dengan jelas tanpa menjejaskan kedudukan mana-mana institusi.

Keputusan segera juga penting bagi mengelakkan hak Najib terjejas sepanjang proses berkenaan.

AGC berkata, sekiranya mahkamah memutuskan hukuman bagi kes SRC International sudah selesai, penahanan Najib yang diteruskan atas alasan hukuman itu masih berjalan boleh menyebabkan beliau dipenjara melebihi tempoh yang dibenarkan undang-undang.

Namun, jika hukuman itu didapati masih berkuat kuasa, pelaksanaannya perlu mengikut syarat Perintah Pengampunan Bersyarat serta arahan mahkamah berkaitan.

Jabatan itu menegaskan permohonan mendapatkan penjelasan berkenaan bukan bertujuan melengahkan pembebasan Najib atau menghalang pelaksanaan pengampunan yang diperkenankan.

Sebaliknya, langkah itu perlu bagi mengelakkan percanggahan antara perintah yang berkuat kuasa dan memastikan tiada hukuman dilaksanakan bertentangan dengan undang-undang.

AGC turut menolak dakwaan bahawa Peguam Negara telah melampaui bidang kuasa atau menyebabkan Najib ditahan secara tidak sah, sambil mengingatkan bahawa tuduhan sedemikian perlu disokong fakta yang jelas.

Menurut jabatan itu, memastikan pengampunan diraja dilaksanakan dengan betul serta selaras dengan perintah mahkamah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab memelihara institusi Yang di-Pertuan Agong dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

AGC berkata, pihaknya tidak akan melayan polemik terbuka berhubung perkara yang sewajarnya diselesaikan melalui proses kehakiman, sebaliknya akan terus memastikan pelaksanaan setiap hukuman dibuat secara teratur dan menepati undang-undang. - Getaran, 6 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved