
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meninggal dunia ketika berada dalam rawatan.
Kematian tahanan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, semalam.
Lelaki berusia dalam lingkungan 50an itu ialah antara tiga individu yang ditahan SPRM awal minggu ini atas tuduhan pengubahan wang dan perlombongan haram di Pahang.
Azam, seperti dilaporkan Borneo Post dipetik sebagai berkata, lelaki tersebut didapati berada dalam keadaan tidak sihat dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, tahanan berkenaan bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Azam seperti dilaporkan The Star berkata, SPRM telah menyerahkan rakaman kamera berkaitan insiden itu untuk siasatan polis.
Lelaki terbabit bersama dua suspek lagi sedang disiasat berhubung kes perlombongan haram di Pahang, yang didakwa mendatangkan kerugian hampir RM5 juta kepada negeri itu.
Ini bukan kematian pertama melibatkan tahanan SPRM yang dilaporkan, kerana suruhanjaya itu sedia memiliki dua kes berprofil tinggi.
Kes pertama melibatkan bekas pembantu parti DAP, Teoh Beng Hock yang ditemui mati, didakwa sebagai terjatuh di luar pejabat SPRM di Shah Alam pada 2009.
Satu lagi kes melibatkan pegawai Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed, juga didakwa mati kerana terjatuh di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 2011. - Getaran, 16 Jun 2023
