
SHAH ALAM - Tahap sekuriti sistem pangkalan data di negara ini perlu sentiasa ditambah baik bagi mengelakkan ia mudah digodam hingga kes kebocoran data berterusan berlaku.
Pakar Keselamatan Siber, Dr Amirah Ismail berkata, mereka yang menganggotai pasukan sekuriti pangkalan data juga perlu memiliki pengetahuan dan kepakaran yang tinggi seiring dengan perkembangan teknologi siber.
Beliau berkata, secara dasarnya setiap pangkalan data itu sebenarnya sudah selamat dan telah diuji beberapa kali sebelum ia digunakan.
“Namun, jika tetap berlaku kebocoran data, mungkin masih ada ruang yang membolehkan pihak tidak bertanggungjawab menggodam sistem tersebut.
“Jadi sistem sekuriti pangkalan data perlu ditambah baik lagi, contohnya dengan meningkatkan tahap kod yang digunakan serta perlu memantau setiap aktiviti dalam sistem pangkalan data mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Amirah yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan dan Teknologi Perisian, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia menjelaskan, tahap keselamatan data di peringkat pengguna juga boleh diperketatkan mengikut beberapa lapisan.
“Sekarang kita tahu, untuk akses kepada sesetengah sistem, selain adanya kata laluan, pengguna juga perlu melalui tapisan keselamatan imbasan pengecaman wajah.
“Memang diakui agak leceh kalau mahu pertingkatkan aspek keselamatan tersebut sebab rakyat yang rendah literasi teknologi maklumat tidak dapat nak ikutinya, namun mungkin ia boleh dibuat secara berperingkat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, paling penting pihak penyedia sistem terutama bagi sektor perbankan perlu segera memaklumkan kepada pengguna jika berlaku ketirisan data sistem milik mereka.
Amirah berkata, kes kebocoran data yang masih berlaku di negara ini tidak bermakna negara masih kekurangan kepakaran dari segi perlindungan keselamatan data.
“Bagi saya kita memang ada pakar-pakar dalam bidang keselamatan data dan tahap keselamatan data itu di peringkat tertinggi bagi menjamin tahap keselamatan data terutama bagi institusi perbankan.
“Cuma mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab dapat merungkai kod sesetengah data yang sensitif, jadi perkara inilah yang perlu ditangani,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Amirah menyarankan pihak pengendali sistem sentiasa mengemas kini perisian yang digunakan dari masa ke masa kerana tidak boleh menggunakan satu-satu perisian terlalu lama.
“Perisian yang diguna perlu sentiasa terkini, perlu ada antivirus selain perlu dibangunkan banyak lagi perisian yang boleh mengelakkan aktiviti penggodaman dan penipuan,” ujarnya.


