
Imuda mungkin tidak berapa dikenali oleh generasi sekarang, tapi bagi mereka yang lahir pada tahun 90-an dan ke bawah semestinya amat mengenali individu berbakat ini.
Jika hari ini, Sepahtu Reunion merupakan antara siri yang menghiburkan ramai orang, tapi dahulu sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu lah yang membuatkan ibu bapa atau atok nenek kita tidak kering gusi.
Dalam siri komedi sekitar pertengahan tahun 80-an itu, terdapat banyak pelakon-pelakon veteran dan salah satu daripadanya adalah Imuda.
Imuda kini bergelar Datuk, terima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri
Setelah berpuluh tahun berkecimpung dalam bidang seni, pelakon, pelawak serta pelukis berusia 65 tahun itu akhirnya bergelar Datuk.
Beliau menerima anugerah Darjah Setiap Pangkuan Negeri sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tuh Ahmad Fuzi Abdul Razak di negeri itu semalam (30 Julai).

Imuda atau nama sebenarnya A Rahim Muda merupakan antara 103 penerima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri.
“Saya amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang. Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan.
“Bukan sahaja untuk diri saya, tetapi buat seluruh anak seni lain di Pulau Pinang,” katanya dipetik Berita Harian.
Imuda mulakan kerjaya sebagai pelukis sebelum menjadi pelawak dan pelakon
Sekadar info, Imuda memulakan kerjayanya sebagai seorang pelukis di syarikat penerbitan tempatan sebelum melebarkan sayapnya bersama Dewan Bahasa dan Pustaka.
Karya-karya Imuda banyak diterbitkan untuk majalah Gila-Gila, Berita Minggu dan Gelihati.
Selain popular dalam siri komedi, Imuda pernah membintangi puluhan filem popular seperti Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Gelap, Mat Som dan banyak lagi.
Ramai ucap tahniah dan akui Imuda layak terima anugerah terbabit
Hantaran di akaun Facebook ImudaArt Entertainment and Team tentang berita gembira itu juga dipenuhi dengan komen orang ramai yang mengucapkan tahniah kepada anak seni itu.
Malah, kebanyakan pengguna media sosial juga menyatakan Imuda sememangnya layak menerima anugerah terbabit kerana sumbangannya terhadap industri seni negara.
Sekalung tahniah kami ucapkan buat Datuk A Rahim Muda atau Datuk Imuda atas penganugerahan yang diterima ini.



Source:




