

Percaya atau tidak, Perodua mencatat jualan sebanyak 358,102 unit kenderaan bagi tahun 2024 sahaja.
Rekod luar biasa itu mencatatkan rekod pendaftaran tertinggi dengan peningkatan sebanyak 8.4% dan berjaya mengatasi pencapaian pada tahun 2023 iaitu 330,325 unit kenderaan.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya telah mengatasi kapasiti asal iaitu sebanyak 320,000 unit.
“Pencapaian ini menunjukkan potensi sebenar kami dan akan menjadi penanda aras bagi industri untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
“Untuk itu, kami ingin berterima kasih kepada kakitangan kami kerana telah membuktikan kita boleh melakukan lebih daripada apa yang dijangka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai prestasi Perodua, beliau berkata, pihaknya menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan melebihi 814,000 unit kenderaan bagi tahun 2024. dan daripada jumlah itu, 44% disumbangkan oleh Perodua.

“ Berdasarkan peratusan itu, kami menjangka Perodua akan menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun lalu,” tambahnya.
Dari segi pengeluaran, Perodua mengeluarkan 368,100 kenderaan pada 2024, yang juga jumlah pengeluaran tertinggi sepanjang 30 tahun operasi jualannya, dengan peningkatan sebanyak 7.2 % daripada 343,400 yang dicatatkan pada 2023.
Bagi asas suku ke suku tahun, pendaftaran kenderaan Perodua adalah sebanyak 97,741 unit antara Oktober ke Disember 2024.

Ini menunjukkan, peningkatan sebanyak 0.7% daripada97,098 unit yang dicatatkan pada suku yang sama tahun 2023.
Sementara itu, bagi bulan Disember 2024, Perodua mencatat jualan sebanyak 32,202 unit iaitu peningkatan sebanyak 3.2% berbanding 31,210 unit pada Disember 2023.
Bagi aspek selepas jualan, Perodua menyaksikan peningkatan sebanyak 9.7% untuk jumlah kereta yang diselenggara kepada 3.4 juta berbanding 3.1 juta pada 2023.
Untuk itu, Perodua yakin tahun 2025 akan memberikan peluang dan cabaran baharu termasuklah persaingan yang semakin meningkat daripada jenama automotif baharu dalam pasaran.


