Tahun Melawat Perak 2024 sasar kunjungan 8 juta pelancong, jana pendapatan RM10 bilion

17 Jul 2023 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tahun Melawat Perak 2024 sasar kunjungan 8 juta pelancong, jana pendapatan RM10 bilion

zakisalleh

17/07/2023 - 16:15

IPOH 17 Julai - Sasaran menerima kehadiran lapan juta pelancong tempatan serta kira-kira 300,000 pelancong asing diletakkan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Angka ini sekiranya dicapai akan menjana ekonomi pelancongan negeri bernilai RM10 bilion.

Perak ketika ini mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong kedua tertinggi dalam negara iaitu seramai 6.9 juta pelancong berbanding 1.35 juta tahun lalu.

Ini meletakkan Perak di belakang Pahang yang menerima kedatangan seramai 7.8 juta pelancong domestik tahun lalu.

image is not available
Saarani bersama sebahagian daripada delegasi Thai Agents Association yang hadir.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran kunjungan pelancong itu adalah realistik berdasarkan tawaran pelancongan di negeri itu.

Katanya, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping Selatan juga bakal memudahkan kunjungan pelancong ke Perak.

“Laluan baharu ini akan membuka akses kepada destinasi pelancongan lain yang menarik di kawasan pesisir pantai negeri Perak.

"Bermula dari Hutan Melintang, ia melalui beberapa persimpangan susur keluar iaitu Teluk Intan yang terkenal dengan Menara Condong, Lekir dan Sitiawan yang menjadi pintu masuk ke Pulau Pangkor," ujarnya.

image is not available
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat pameran produk pelancongan negeri Perak.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di pusat beli-belah NU Sentral di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.

Seramai 22 orang pengusaha pelancongan, enam pengusaha makanan dan empat pengusaha produk kraftangan mengketengahkan keunikan masing-masing.

image is not available
Logo Tahun Melawat Perak 2024.

Turut diadakan ialah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Travel Agents Association (MATTA) Cawangan Perak dan Thai Travel Agents Association (TTAA).

Ini bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dan sebagai tarikan pelancong antara kedua-dua pihak. - DagangNews.com