
Sudah menjadi lumrah kehidupan, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Namun untuk menerima takdir pemergian insan tersayang tentunya ‘berat’.
Bagaimanapun, orang yang masih bernyawa tetap harus meneruskan baki kehidupan yang ada di dunia ini.
Di saat seseorang lemah selepas kehilangan orang tersayang, ahli keluarga dan anak-anak perlulah memberi semangat serta sokongan agar insan terbabit kembali bangkit dan kuat.
Tular anak sediakan lauk ‘frozen’ buat bapa berbuka puasa
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang individu memasak pelbagai jenis lauk sebelum disimpan menjadi makanan beku (frozen food).
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @dapurhana_hq, kesemua lauk ‘frozen’ disediakan oleh individu terbabit buat bapanya berbuka puasa.

Dalam video tersebut, kelihatan beberapa jenis lauk yang disediakan seperti ikan keli cili api, kari ayam, sambal tauhu, rendang ayam, ikan bawal masak merah dan banyak lagi yang disimpan ke dalam peti sejuk beku.
Sediakan lauk frozen untuk ayah yang baru kehilangan isteri tercinta
Apa yang menyedihkan, individu itu menyatakan bahawa lauk-lauk ‘frozen’ tersebut disediakannya kerana Ramadan ini merupakan tahun pertama bapanya berpuasa tanpa isteri di sisi.
“Lauk ‘frozen’ untuk ayah, tahun pertama ayah tanpa isteri di sisi. Semoga dipermudah urusan ayah berpuasa tahun ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Lauk Frozen Utk Ayah🥰 Tahun pertama ayah tanpa isteri di sisi🥺 Semoga dipermudahkan urusan ayah berpuasa tahun ini.. Aamiin🤲 #dapurhana #ramadhan2025 #ramadhan #masakmasak #masakdirumah #masak #ayah #makayah
Netizen sebak dengan perkongsian wanita itu
Memindai di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi setelah melihat video tersebut.
Kebanyakan netizen berasa sebak dengan perkongsian individu itu mengenai bapanya yang menyambut puasa serta Hari Raya Aidilfitri nanti buat kali pertama tanpa isteri tercinta.
Mereka turut menyifatkan individu itu sebagai anak yang baik serta bertanggungjawab terhadap bapa selain menitipkan doa agar dia dan ayahnya diberikan kesihatan serta kebahagian.








