
KUALA LUMPUR – Impian pelumba e-racing negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi kenyataan apabila melakar kejutan melakar kemenangan di Gran Turismo 7 di Aichi Sky Expo, semalam.
Pelumba berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi perlumbaan penuh disiplin dan ketenangan sepanjang saingan tiga perlumbaan sebelum mengesahkan kejuaraan dengan mengumpul keseluruhan 36 mata.
Pada Perlumbaan 1, Taj Izrin membuka saingan dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua menerusi catatan 14 minit 36.103 saat (s), manakala wakil tuan rumah, Ryota Kokubun, muncul juara.
Taj Izrin sekali lagi menaiki podium pada Perlumbaan 2 apabila menduduki tempat kedua selepas ketinggalan hanya 0.054 saat kepada pelumba Korea Selatan, Kim Young Chan, dalam saingan sengit membabitkan tiga pelumba bersama Kokubun.
Keputusan itu menyaksikan Taj Izrin mengumpul 16 mata dan terikat dengan Kokubun, sekali gus menjadikan Perlumbaan 3 sebagai penentu kejuaraan.
Memasuki perlumbaan terakhir, Taj Izrin tampil lebih tenang dan bijak mengatur strategi dalam saingan 17 pusingan bagi memastikan peluang meraih emas tidak terlepas begitu sahaja.
Strateginya membuahkan hasil apabila Taj Izrin mendominasi perlumbaan terakhir dengan menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan masa 25 minit 07.185 saat, meninggalkan pencabar dari Korea Selatan dan Jepun dengan kelebihan lebih empat saat.
Kemenangan dalam perlumbaan terakhir itu menyaksikan Taj Izrin menamatkan saingan dengan 36 mata keseluruhan untuk mengesahkan pingat emas buat Malaysia.
Pelumba Arab Saudi, Naif Abdulhakim Alfaleh meraih perak, manakala wakil Korea Selatan, Young Chan membawa pulang gangsa selepas kedua-duanya mengumpul 25 mata.
Lebih manis, kemenangan tersebut turut membolehkan Taj Izrin membawa pulang ganjaran tambahan RM20,000 yang diumumkan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) sebagai penghargaan kepada kontinjen e-sukan negara yang berjaya meraih pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.-KOSMO! ONLINE
The post Taj Izrin julang emas e-racing di Sukan Asia appeared first on Kosmo Online.





