‘Tak logik budak 19 bulan sampai ke sungai dalam beberapa minit’ – Polis siasat ibu bapa Hud Aryan

LocalPolitics
27 Feb 2025 • 2:21 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Semalam, mayat kanak-kanak lelaki, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan, ditemui tersangkut pada pokok di tebing sungai di Kampung Kerila, petang Rabu, kira-kira tiga kilometer dari kediaman neneknya dan 45 jam selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan hasil bedah siasat tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan atau elemen jenayah pada tubuh mangsa.

Bagaimanapun, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai kemungkinan wujud unsur kecuaian.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk menjalankan siasatan lanjut. Ini berdasarkan tular di TikTok yang mengatakan tidak logik untuk kanak-kanak berusia 19 bulan itu boleh sampai ke sungai dalam beberapa minit sahaja,” katanya memetik laporan dari Berita Harian, Khamis, 27 Februari 2025.

Susulan itu, polis akan merakam keterangan daripada keluarga termasuk ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Walaupun setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada kertas siasatan dibuka, pihak polis tetap akan menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan tiada elemen kecuaian yang menyumbang kepada kejadian tragis ini.

Penemuan mayat Hud Aryan yang tragis ini turut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, dengan pelbagai spekulasi timbul mengenai kejadian itu.