
"Tak mahal banding masa depan kamu..", Hadiah Sepasang Kasut Daripada Cikgu Untuk Murid Yatim Undang Sebak
Tidak dinafikan tanggal 16 Mei merupakan tarikh keramat buat insan yang bergelar seorang pendidik.
Guru merupakan salah satu profesion yang mulia dan meninggalkan kesan besar buat masyarakat.
Bermula daripada mengajar kita mengenali huruf sehingga memahami konsep kompleks, peranan besar guru sudah tentu tidak boleh dinafikan.
Bagaikan sudah menjadi tradisi anak-anak kecil yang berlumba-lumba untuk memberikan hadiah kepada guru mereka sebagai tanda penghargaan kepada jasa-jasa guru mereka.
Bersempena dengan hari penuh istimewa ini, SK kongsikan satu kisah yang meruntun jiwa mengenai seorang guru dan anak muridnya menerusi perkongsian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al Bakri
Hadiah Sepasang Kasut Daripada Seorang Guru

Ada satu kisah yang pernah sampai kepada saya. Kisah seorang guru di pedalaman tentang sebuah kebaikan kecil yang Allah SWT pelihara kesannya hingga bertahun-tahun lamanya.
Di sebuah kampung yang jauh dari bandar, seorang guru yang mengajar anak-anak miskin dengan penuh kasih sayang. Sekolahnya sederhana, murid-muridnya pula datang daripada keluarga yang susah.
Suatu hari, beliau terlihat seorang murid lelaki datang ke sekolah tanpa kasut. Kakinya kotor diselaputi lumpur jalan kampung.
Guru itu bertanya perlahan: “Mana kasut kamu?”
Anak kecil itu menundukkan wajah. “Ibu saya tiada duit, cikgu…”
Guru itu diam. Tetapi hati seorang guru tidak pernah benar-benar diam apabila melihat kesusahan muridnya. Dia adalah adalah anak yatim, bapanya meninggal ketika sedang berkerja di dalam hutan.
Keesokan harinya, selepas tamat kelas, beliau memanggil murid itu lalu menghulurkan sebuah kotak kecil. Di dalamnya ada sepasang kasut baru. Anak itu mendiam. Tangannya menyambut kasut tersebut. “Cikgu… ini mahal…”
Guru itu hanya tersenyum lalu berkata: Tak mahal kalau dibandingkan dengan masa depan kamu.
Setahun selepas itu, beliau berjaya untuk menukar tempat mengajar. Masa terus berlalu. Guru itu pula semakin dimamah usia. Dahulunya muda kini sudah tua.

Sehinggalah pada suatu hari, beliau jatuh sakit lalu dimasukkan ke hospital. Tubuhnya lemah. Rambutnya sudah putih seluruhnya. Kebanyakan masa beliau hanya berbaring sendirian di atas katil wad sambil memandang siling yang suram dek kerana penyakit serangkai yang dihidap.
Namun ada sesuatu yang pelik berlaku. Setiap hari, seorang doktor muda akan datang melihatnya. Bukan sekadar memeriksa tekanan darah atau bertanya keadaan kesihatan seperti biasa. Doktor itu lain.
Jika air panas di dalam termos habis, dialah yang akan pergi mengisikannya semula. Jika meja kecil di tepi katil bersepah, dialah yang diam-diam mengemaskannya. Kadang-kadang dia datang membawa buah-buahan. Kadang-kadang dia duduk lama berbual supaya guru tua itu tidak berasa sunyi dan bosan di wad.
Jururawat sendiri hairan melihat layanan doktor muda tersebut. Sudah hampir seminggu guru tua itu berada di hospital. Dalam hati kecilnya timbul rasa hairan. “Siapa doktor ini sebenarnya?”
Pada suatu petang, ketika doktor muda itu sedang menuangkan air panas ke dalam cawan, guru tua itu akhirnya bersuara perlahan: “Doktor… kita pernah berjumpa sebelum ini?
Doktor muda itu terdiam. Tangannya berhenti seketika. Kemudian dia memandang wajah tua itu sambil tersenyum kecil, tetapi matanya mula berkaca. Dengan suara yang perlahan dia berkata: “Cikgu masih ingat seorang budak yang datang sekolah tanpa kasut?” Guru tua itu memandang lama.
Doktor itu menyambung lagi: “Hari itu cikgu belikan saya kasut. Cikgu kata… ‘Tak mahal kalau dibandingkan dengan masa depan kamu.’”
Suasana wad tiba-tiba menjadi sunyi. Doktor muda itu menunduk sebentar sebelum berkata lagi dengan suara menahan tangisan: “Kalau hari itu cikgu tak beri saya kasut… mungkin saya sudah berhenti sekolah.
Guru tua itu tidak mampu berkata apa-apa. Hanya air mata perlahan-lahan mengalir di pipinya yang sudah dimamah usia.
Baca juga:Kadang-kadang seorang guru terlupa kebaikan kecil yang pernah dilakukannya. Tetapi seorang murid boleh mengingatinya seumur hidup.
Sesungguhnya jasa guru bukan sekadar mengajar manusia membaca dan menulis, tetapi membentuk insan mengenal Tuhan, adab dan kehidupan. Semoga Allah SWT memberkati setiap langkah dan pengorbanan para guru, serta mengurniakan ganjaran yang berterusan atas segala ilmu yang dicurahkan.
Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik.

