Tak Mahu Dengar Berita Palsu, Penduduk Batu Nekad Mengundi 

Politics
18 Nov 2022 • 9:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
P Prabakaran (kiri) mengadakan 'walkabout' di sekitar kawasan Parlimen Batu, hari ini, iaitu kempen akhir sebelum PRU-15 esok. - Gambar oleh Izwan Ramlan

KUALA LUMPUR - Enggan membiarkan diri terpengaruh dengan penyebaran pelbagai berita palsu mutakhir ini, penduduk Taman Wilayah di Batu Caves di sini nekad keluar mengundi.

Bagi mereka, tanggungjawab setiap lima tahun itu perlu dilakukan sebaik mungkin, bagi memastikan masa depan negara terjamin dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Seorang pesara, Moorthy Kuppasamy, 57 berkata, pengundi tidak seharusnya membiarkan diri dipengaruhi berita palsu yang disebarkan ketika mengundi, esok.

image is not available
Moorthy Kuppasamy

“Berita palsu calon tidak buat kerja atau apa sahaja jangan dengar lagi. 

“Sentimen tuduhan palsu jangan dibawa esok semasa mengundi, terutamanya orang muda yang kali pertama mahu buang undi. Kenali pemimpin yang buat kerja, pangkah dan balik tunggu keputusan,” ujarnya kepada Getaran ketika ditemui di sini hari ini.

image is not available
Lestari Yahya

Pemuda, Lestari Yahya, 33 pula melahirkan rasa tidak sabar untuk membuat pilihan dan yakin kerusi Parlimen Batu kekal menjadi milik P Prabakaran.

“KL (Kuala Lumpur), Selangor, PH (Pakatan Harapan) boleh menang. Saya esok pasti pilih Prabakaran juga. Kita nampak rakyat dah mula bangkit suarakan pendapat dan kemarahan.

“Saya nak pesan pada generasi muda yang mengundi kali pertama esok, lihat pada khidmat diberikan pemimpin. Bukan dengar apa orang cakap,” katanya yang bekerja sendiri.

Penjual popiah, Nur Islam Muhammad Ali, 25 pula mengakui tidak teruja dengan PRU-15.

Baginya, pilihan raya atau tidak, kehidupan tetap berjalan seperti biasa.

image is not available
Nur Islam sedang menyediakan popiah untuk dijual kepada pelanggan.

“Saya tak ada rasa apa-apa, biasa-biasa saja. Undi tetap keluar undi tapi lebih baik tukar individu yang lebih baik,” katanya.

Nur Islam turut meluahkan rasa kecewa dengan masalah jalan yang masih tidak selesai biarpun pelbagai aduan telah dibuat.

“Macam masalah jalan di sini, bukan nak kata apa. Bila buat aduan, rasa macam angin lalu saja. Kita kena tengok masa terkini apa yang rakyat mahukan,” luahnya.

Parlimen Batu bakal memperlihatkan pertembungan 10 penjuru pada PRU-15 esok.

Penyandang kerusi, P Prabakaran sebelum ini memenangi kerusi berkenaan ketika bertanding sebagai calon Bebas pada PRU-14, dengan meraih majoriti undi 38,125.

Untuk PRU-15, Prabakaran bakal bertanding sebagai calon PH. - Getaran, 18 November 2022