
KUALA LUMPUR - Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan hari ini.
Menerusi kenyataan ringkas di X, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.
“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
“Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya.
Beliau menerusi hantaran sama turut mengucapkan terima kasih atas peluang diberikan kepadanya selama ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Meskipun tidak menyebut secara terperinci, serangan dikatakan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada satu laporan berhubung surat sokongan, yang didakwa dikeluarkan ‘pembantu politik’ Anwar.
Surat terbabit yang dialamatkan kepada seorang pembantu menteri kesihatan antara lain bertujuan meminta pihak berkaitan mempertimbang enam kontraktor untuk projek Hospital Muar.
Perdana Menteri ketika mengulas mengenai perkara berkenaan berkata, kandungan surat sokongan itu amat ‘kabur’ dan bukan merupakan satu arahan yang jelas.
Anwar menyatakan demikian sebagai menjawab gesaan mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang meminta beliau mengambil tindakan tegas terhadap Shamsul Iskandar kerana mengeluarkan surat sokongan tersebut tahun lalu. – Getaran, 25 November 2025
