Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Haiwan merupakan makhluk yang perlu disayangi, bahkan kita juga wajib mempunyai sifat ihsan dan perlu menjaga kebajikan mereka khususnya binatang peliharaan seperti kucing, anjing, dan sebagainya.
Namun masih ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mengabaikan haiwan peliharaan mereka, sekali gus menyiksa binatang terbabit.
Suami isteri kongsi selamatkan 30 ekor kucing ditinggalkan oleh penyewa rumah
Seorang pencinta haiwan, Nor Izwan Asli berusia 43 tahun bersama dengan isterinya, Enani Hamis, 41, sebelum ini ada berkongsi mengenai tindakan penyewa di Gombak yang bertindak meninggalkan 60 ekor kucing di dalam sebuah rumah.
Namun mereka hanya dapat menyelamatkan sekitar 30 ekor kucing manakala 30 ekor lagi tidak dapat diselamatkan disebabkan keadaan yang lemah ekoran ditinggal oleh pemilik tak bertanggungjawab.
Awalnya terima aduan bau busuk, rupanya banyak kucing dah mati dan lantai dipenuhi darah dan kutu
Difahamkan pada mulanya mereka mendapat panggilan telefon dari seorang individu yang mengadu mengenai bau busuk yang begitu kuat di sebuah kawasan rumah teres selepas penyewa dipercayai menghilangkan diri.
Katanya, pemilik rumah berkenaan lalu dihubungi untuk meminta mereka membuka pintu rumah tersebut dan apa yang ditemui begitu mengejutkan.
“Keadaan di dalam rumah sangat teruk. Bangkai kucing bertaburan di merata tempat, lantai dipenuhi darah dan kutu.
“Banyak kucing mati di dalam sangkar. Lebih menyedihkan, terdapat kucing bunting serta anak-anak kucing yang turut ditemukan mati,” jelasnya, dipetik Sinar Harian.
Kucing diselamatkan berada dalam keadaan lemah dan kurus mungkin sebab tak makan
Mereka kemudian menyelamat sekitar 30 ekor kucing yang masih hidup namun ada di antaranya berada dalam keadaan yang lemah serta kurus.
“Saya dimaklumkan mereka dipercayai meninggalkan rumah kerana tidak lagi mampu membayar sewa sejak tiga bulan lalu.
“Selepas berbincang dengan isteri, kami membuat keputusan membawa pulang semua kucing yang masih hidup untuk diberikan rawatan dan penjagaan.
“Kami bukan orang senang, tetapi tidak sampai hati melihat keadaan haiwan-haiwan itu.”
Penyewa adalah pasangan sudah berkahwin
Penyewa tersebut dipercayai bukan warga negara manakala isterinya pula adalah warga tempatan.
Nasihat tuan rumah untuk buat laporan, semua kucing yang dah mati dibawa pulang untuk ditanam
Ekoran daripada insiden yang berlaku, mereka kemudian menasihatkan tuan rumah untuk membuat laporan polis serta berhati-hati dengan penyewa yang akan datang.
“Semua bangkai kucing kami kumpulkan dan ditanam, manakala haiwan yang lain akan dirawat.
“Kami akan buat yang terbaik untuk kucing-kucing yang masih hidup ini,” ujarnya. Menerusi hantaran di Facebook insiden itu dipercayai berlaku pada Jun lalu.
Di ruangan komen, mereka juga memaklumkan sebelum ini tuan rumah sudah meminta penyewa untuk mengurangkan kucing di rumah berkenaan namun mereka berdegil.
Ramai kecam tindakan penyewa rumah biarkan kucing terkurung
Sehubunga itu, ramai mengecam tindakan penyewa rumah yang tergamak meninggalkan kucing sebegitu rupa sehingga menyebabkan ada yang mati.
Malah ada yang berpendapat, penyewa itu tidak sepatutnya mengurung kucing-kucing itu di dalam sangkar.
“Tak sanggup nak tengok gambar-gambar tu. Allahuakbar, zalimnya. Kalau tak mampu nak jaga, jangan kurung macam ni.”

“Allahu, kemurungan terus lepas baca dan tengok gambar-gambar ni. Kesian sangat, aniaya kucing-kucing tu semua. Kenapa lah sampai macam tu sekali diperlakukan.”




