Tak melatah imej berhijab ditegur, Ernie Zakri buka mulut & mohon maaf -'Saya manusia biasa, jangan tiru...'

Entertainment
14 Aug 2026 • 9:48 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Tak melatah imej berhijab ditegur, Ernie Zakri buka mulut & mohon maaf -'Saya manusia biasa, jangan tiru...'

SIKAP profesional dan kematangan penyanyi vokal terbilang, Ernie Zakri, sekali lagi mencuri perhatian apabila beliau memilih untuk berlapang dada menerima teguran ramai berhubung isu gaya busananya yang dikatakan kurang sesuai dengan imej wanita berhijab. Tanpa melatah atau cuba melancarkan sebarang 'perang dingin', penyanyi ini tampil memohon maaf secara terbuka atas kekhilafan yang berlaku.

Bagi pelantun lagu Ku Bersuara ini, setiap kritikan masyarakat luar bukanlah satu ancaman, sebaliknya cermin diri untuk beliau menjadi figura awam yang lebih baik. Beliau mengakui seseorang itu boleh terlepas pandang apabila hanya menilai sesuatu perkara dari sudut pandangnya sendiri.

"Saya terima segalanya dengan terbuka. Bila orang beri teguran dan sebagainya, saya manusia biasa... Saya terima, tidak ada apa-apa yang pernah saya lawan atau apa-apa. Kadang-kadang kita melihat dengan mata kita, kadang-kadang kita terlupa juga pandangan mata luar yang harus kita ambil berat juga.

"Saya terima dengan hati terbuka dan saya mohon maaf sekiranya look yang saya pakai itu mungkin memberi ketidaksenangan hati," ujarnya jujur.

Pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri ini sedar penampilannya sentiasa menjadi ikutan ramai, terutamanya golongan muda yang baru belajar menutup aurat. Justeru, beliau tidak mahu kesilapan tersebut dijadikan contoh oleh mana-mana pihak.

Image from: Tak melatah imej berhijab ditegur, Ernie Zakri buka mulut & mohon maaf -'Saya manusia biasa, jangan tiru...'

"Pertama, kita berhijab ini tanggungjawab yang sangat besar. Saya juga tak nak menggalakkan orang lain buat. Adik-adik yang seperti baru nak pakai tudung mungkin fikir 'Oh Kak Ernie boleh pakai macam tu, mesti boleh kan', itu dah jadi responsibility kita.

"Kita tak tahu impak itu seperti apa, tapi saya manusia biasa melakukan kesilapan. Jangan tiru itu," tegasnya lagi.

IMEJ SEORANG IBU

Tidak mahu insiden sama berulang, juara Bintang RTM 2009 ini terus mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan khas bersama pasukannya bagi memantau pemilihan fesyen selepas ini. Apatah lagi, keutamaannya kini bukan sahaja pada perjalanan kerjaya, tetapi juga imejnya sebagai seorang ibu.

"Saya sedar dengan teguran itu, jadi kita bersama dengan team duduk berkumpul berbincang. Kita ada mesyuarat dan cakap, okey lepas ini kita kena hati-hati. Saya juga seorang ibu, saya perlu berhati-hati dengan imej," jelasnya.

Image from: Tak melatah imej berhijab ditegur, Ernie Zakri buka mulut & mohon maaf -'Saya manusia biasa, jangan tiru...'

Menariknya, isteri kepada penyanyi Syamel ini memilih untuk tidak mendedahkan sebarang krisis atau isu teknikal di belakang tabir semata-mata untuk membela diri. Baginya, penonton hanya menilai apa yang dipersembahkan di atas pentas tanpa perlu dibebankan dengan hal duka di sebalik tabir.

"Takkan kita nak cakap pada semua orang, tahu tak apa yang berlaku dekat backstage, apa jadi. Kita tak boleh beritahu semua masalah dan mereka tidak perlu semua itu kerana apa yang kita persembahkan, itu yang mereka lihat.

"Setiap yang berlaku ada hikmah, kita belajar daripadanya dan ambil ia sebagai perkara positif. Senyum, jalan terus," ungkapnya matang.

Mesej kebangkitan dan ketenangan ini sebenarnya cukup selari dengan karya terbaharu beliau, Sejambak Bunga, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. Lagu yang dilancarkan secara rasmi menerusi pentas pertunjukan fesyen "Lerai" oleh pereka Zaimi Zulkafli itu menterjemahkan fasa kehidupannya yang lebih reflektif.

Image from: Tak melatah imej berhijab ditegur, Ernie Zakri buka mulut & mohon maaf -'Saya manusia biasa, jangan tiru...'

"Bagi saya, Sejambak Bunga ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dan setiap pengalaman membentuk siapa kita hari ini. Lagu ini tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik.

"tak semua luka perlu dibalas dengan luka, kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik," katanya mengakhiri bualan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved