Tak Mustahil PAS Kembali Ke Pangkuan PKR, DAP - Asyraf Wajdi

Politics
16 Aug 2022 • 9:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Asyraf Wajdi berkata bukan mustahil untuk PAS kembali kepada PKR dan DAP kelak. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - UMNO seolah-olah ‘panas punggung’ selepas beberapa jam PAS memberi bayangan mampu menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak mustahil untuk PAS kembali ke pangkuan PKR dan DAP kerana pernah menjalin kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) demi menewaskan UMNO.

image is not available
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

“Apabila Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari bersungguh-sungguh mengajak DAP dan PKR serta Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan kerajaan UMNO di Pahang, apakah bermakna kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin kelmarin untuk mencari jalan menyelamatkan hubungan dengan UMNO atas nama Muafakat Nasional (MN) hanya sandiwara semata-mata.

“Untuk PAS kembali kepada PKR dan DAP bukanlah satu yang mustahil kerana mereka pernah bersama dalam PR atas matlamat yang serupa dengan saranan Ketua Pemuda PAS hari ini demi semata-mata mengalahkan UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli memberi bayangan PAS mampu menawan Pahang pada PRU-15 seperti mana parti itu berjaya ‘menakluk’ Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum ini.

Ahmad Fadhli berkata, perkara tersebut tidak mustahil untuk direalisasikan apabila pelancaran jentera parti itu, Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20,000 (H20K) yang diadakan baru-baru ini, menerima sambutan menggalakkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan, PAS berpeluang cerah mengubah kepimpinan Pahang jika mendapat sokongan sepenuhnya daripada (penyokong) Pakatan Harapan (PH) untuk memberi mandat kepada PAS.

“Dalam PRU akan datang, jika penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya mengubah kepimpinan Pahang, InsyaAllah PAS ada peluang menang atau setidak-tidaknya menjadi ‘pemegang syer’ paling besar dalam pembentukan kerajaan negeri berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf juga tidak menolak PAS boleh berubah untuk bersama pasangan baharu selepas meninggalkan UMNO menerusi MN bagi membentuk Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Itulah seni politik yang serba berkemungkinan. Seni yang boleh berubah-ubah dan jika agama dikesampingkan, matlamat boleh menghalalkan cara,” katanya. - Getaran, 16 Ogos 2022