Tak Perlu Bawa Bekal Jika Ke Taiwan, Ada Banyak Restoran Halal

Food
12 May 2024 • 9:21 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Pertama kali menjejakkan kaki ke Taiwan pada 2017 memang hati agak gusar tentang pilihan makanan. Maklumlah ia bukan negara Islam dan kurang popular di kalangan di kalangan pengembara muslim ketika itu.

Namun, persepsi ini mula berubah setelah beberapa kali berpeluang melawat negara kepulauan yang terkenal dengan menara ikonik, Taipei 101 itu. Taiwan sememangnya menjanjikan pengalaman kulinari yang menyenangkan, ada banyak lokasi menjamu selera yang halal dan mesra muslim.

Jadi, janganlah teragak-agak untuk bercuti ke sini kerana pengembaraan anda pasti berbaloi. Bukan makanan halal sahaja yang mudah dicari, malah terdapat banyak fasiliti mesra muslim yang menanti.

Jom semak lima restoran yang boleh anda kunjungi apabila bercuti ke Taiwan. 

1. Kaohsiung Halal Restaurant 

Jika Kaohsiung menjadi salah satu persinggahan, Kaohsiung Halal Restaurant ini mesti anda cuba. Terletak bersebelahan Masjid Kaohsiung, restoran yang menjadi tumpuan komuniti Islam ini menyediakan pelbagai jenis sup yang lazat dan menyelerakan. 

image is not available

Boleh pilih sup daging, kambing, bebola daging dan juga bahagian lembu yang lain seperti perut, hati, dan urat. Nikmati bersama nasi atau mi. Selain itu, ada juga menu sayuran jika anda ingin melengkapkan hidangan.

2. Chen Lili Indonesian Food, Kaohsiung

Restoran ini sering dikunjungi rakyat Indonesia yang merindui masakan mereka ketika bercuti ke sana. Malah ia juga telah dijejaki oleh ramai pempengaruh dari Indonesia dan Malaysia. Menyajikan makanan asli Indonesia yang halal dan lazat, Chen Lili Indonesian Food, Kaohsiung pasti tidak menghampakan. 

image is not available

Antara hidangan yang patut anda cuba ialah ayam penyet, opor dan iga (tulang rusuk) yang dimasak sempurna. Bagaimanapun, jika anda bercuti dalam kumpulan yang ramai, dinasihatkan supaya buat tempahan meja lebih awal kerana kapasitinya yang kecil.

image is not available

Satu lagi perkara yang anda harus tahu, petugas restoran ini mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Jadi, tiada masalah untuk membuat pesanan. 

3. Chang Beef Noodle Shop, Taipei 

Mesti singgah untuk semangkuk mi daging! Restoran ini juga telah mendapat pengiktirafan Michelin kerana kelazatan dan kualiti hidangannya! Paling penting, ia sah halal. 

image is not available

Duta Salam Taiwan, Ayda Jebat juga menggemari hidangan mi daging di sini. Restoran berusia 60 tahun ini bukan sahaja tersohor dalam kalangan pengunjung beragama Islam, tetapi juga oleh pelbagai bangsa dan agama. Ini adalah kerana dagingnya yang begitu empuk dan enak, serta ladu atau dumplingnya yang amat lazat. 

4. Abdu Arabian Cuisine, Taipei

Restoran ini menyediakan masakan Arab yang enak dengan harga yang berpatutan. Terdapat pelbagai pilihan yang menanti biarpun restoran ini hanya berkapasiti kecil. Nasi mandy ayam bakar mereka adalah menu yang mesti ada cuba! Sedap sehingga menjilat jari. Satu mungkin tidak cukup.

image is not available

Restoran ini terletak di sekitar kawasan Gongguan di hadapan New Taiwan University.

5. Kunming Islamic Restaurant, Taipei

Kunming Islamic Restaurant ini menyediakan seleksi makanan citarasa sedunia yang boleh dinikmati oleh pelbagai masyarakat antarabangsa. Ditubuhkan pada 1994, restoran ini sudah tidak asing lagi bagi orang Islam yang sering mengunjungi restoran tersebut.

Pemilik restoran adalah orang Myanmar dan beragama Islam sejak beberapa generasi. Ketika mula dibuka mereka fokuskan kepada masakan Yunnan, sesuai dengan nama restoran. Tetapi selepas beberapa ketika, mereka mula perkenalkan masakan antarabangsa setelah menerima ramai pelancong dari seluruh dunia.

image is not available

Selain makanan Cina, dan Asia Barat, anda juga boleh menikmati masakan Thai. Bolehlah puaskan selera dengan memesan pelbagai masakan Thai yang menjadi kegemaran seperti siakap masam manis, tomyam, telur dadar, daging masak halia, ayam pad kra pao dan kangkung belacan. 

Jadi, jangan lupa simpan senarai ini jika ingin terbang ke Taiwan nanti. Selamat bercuti! - Getaran, 12 Mei 2024

Foto : Rahayu MN

View Original Article