Tak pernah iktiraf! Kelantan puji PDRM gagalkan pesta hubungan sejenis

LocalPolitics
17 Jul 2025 • 1:15 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan tindakan pantas menggagalkan satu perjumpaan kumpulan gay di sebuah banglo di Jalan Kemumin, di sini, pertengahan bulan lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan tegas pihak berkuasa itu membuktikan kesungguhan dalam menjaga maruah agama, ketenteraman awam dan nilai kehidupan berlandaskan syariat Islam.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam.
“Amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak serta menggugat keharmonian sosial,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

image is not available

Menurut beliau, Kelantan sudah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 bagi menangani kesalahan berkaitan perbuatan liwat, musahaqah dan perlakuan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama.

“Walaupun enakmen ini pernah dicabar dari segi perundangan, kerajaan negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan sedia ada agar lebih berkesan dalam menegakkan hukum Allah,” katanya.

image is not available

Kelantan puji PDRM gagalkan pesta hubungan sejenis

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat membabitkan pelbagai agensi strategik bagi memperkukuh tindakan pencegahan serta penguatkuasaan.

“Jawatankuasa ini menyelaras pendekatan menyeluruh antara agensi dalam menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menyekat akses kepada aplikasi digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.

“Ruang digital tidak wajar menjadi medan tanpa kawalan yang akhirnya merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda,” katanya lagi.

image is not available

Sebelum ini, media melaporkan serbuan polis ke atas satu perjumpaan gay di sebuah banglo mewah di sini yang dipercayai disertai hampir 100 individu. Dalam serbuan jam 1 pagi itu, pihak polis merampas ratusan kondom dan ubat HIV, hasil risikan dan maklumat orang awam.

image is not available

Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan hanya 20 lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan, manakala puluhan yang lain sudah meninggalkan lokasi sebelum serbuan dilakukan.