Tak puas hati kerja pembersihan stor senjata punca anggota tentera parah dipukul

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 2:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Akibat kejadian itu, Prebet Muhammad Amirul Raziq (gambar kiri) dilaporkan tidak sedarkan diri dan kini menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan.

KUALA LUMPUR – Tidak puas hati terhadap kerja pembersihan stor senjata dilaporkan menjadi punca seorang anggota tentera parah dipukul di kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Pahang pada Isnin lalu.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat memaklumkan siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota kem berkenaan di bahagian muka dan perut.

"Akibat kejadian itu, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD.

“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan kini menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam kejadian sama, enam anggota tentera lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Bentong oleh polis selepas keterangan mereka diambil.

"Anggota PTTR yang disyaki terlibat telah ditahan oleh polis bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, TDM memandang serius insiden tersebut dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“TDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang serta peraturan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan selain menghormati privasi mangsa dan keluarganya.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota tentera dilaporkan koma selepas dipercayai dipukul dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa salah seorang mangsa pada jam 8.45 pagi, Selasa.

Siasatan awal mendapati suspek, seorang anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun, terbabit dalam kejadian itu.

Susulan itu, polis menahan suspek pada jam 2.30 petang, Selasa bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula 1 hingga 4 April ini.