Tak Sampai Sejam Guna, Kereta Baru Ditenggelami Banjir

LocalCars
18 Dec 2023 • 2:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tak Sampai Sejam Guna, Kereta Baru Ditenggelami Banjir

Nasib malang menimpa sepasang suami isteri apabila kereta baharu jenis Proton X50 yang dibeli dalam tempoh kurang daripada sejam ditenggelami air susulan banjir kilat yang berlaku di Puchong pada Sabtu.

Menerusi laporan Sinar Harian, pengguna Facebook Azhazul Azri menceritakan tragedi itu di laman Facebook miliknya pada Ahad.

Azhazul berkata adiknya yang merupakan jurujual sempat bergambar bersama pemilik kenderaan yang gembira menerima kereta baharu pada jam 5 petang.

Bagaimanapun, kejadian yang tidak diingini berlaku sejam selepas itu ketika pasangan tersebut bersama anaknya singgah di pusat beli-belah.

“Banjir adalah risiko yang kita tak boleh kawal.

“Masuk mall (pusat beli-belah), cuaca panas. Pergi makan, solat, bila keluar kereta dah tenggelam,” katanya.

Hantaran itu kemudiannya menarik perhatian orang ramai susulan terkesan dan bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan tersebut.

Mereka turut mendoakan agar urusan mereka sekeluarga dimudahkan oleh yang Maha Esa.

Sesetengah warga maya juga mengingatkan mereka yang mahu membeli kereta untuk mengambil pelan perlindungan kereta khusus bencana alam susulan cuaca tidak menentu pada ketika ini.

Terdahulu, media melaporkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dilanda banjir kilat susulan hujan lebat melanda Lembah Klang pada petang Ahad.

Kejadian banjir kilat itu menyebabkan pengguna lebuh raya terkandas di kawasan sekitarnya.

Penduduk terkejut depan rumah jadi gaung

Semalam, seorang penduduk di Jalan Wawasan, Puchong, berdepan detik cemas apabila melihat hadapan rumahnya tiba-tiba menjadi gaung besar, berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Mencerita detik semas itu, Abd Rahim Md Ali, 72, berkata beliau dan anggota keluarganya bergegas keluar dari rumah apabila terdengar bunyi kuat seperti pokok yang patah, dan sebaik pintu dibuka, mereka tergamam apabila mendapati hadapan rumah mereka telah menjadi seperti gaung.

“Lebih mengejutkan jalan di hadapan rumah saya juga sudah runtuh dan kereta Honda City yang di parkir tepi jalan turut kelihatan terjunam dalam gaung,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari.

Sumber: Sinar Harian