‘Tak sangka dapat surat daripada Tun M’

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 2:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tak sangka dapat surat daripada Tun M’

PETALING JAYA – Aktivis sosial dan pempengaruh Adrian Edy terharu apabila menerima sepucuk surat yang ditandatangani sendiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai membalas penghargaan serta doa yang pernah disampaikannya kepada negarawan itu.

Menerusi perkongsian di Facebook, Adrian berkata, dia sama sekali tidak menyangka Dr. Mahathir akan membalas ucapan berkenaan, apatah lagi menerusi sepucuk surat yang ditujukan khusus kepadanya.

Surat bertarikh 2 September itu turut mempunyai catatan tulisan tangan yang ditujukan kepada Adrian selain ditandatangani sendiri oleh Dr. Mahathir pada bahagian bawah surat berkenaan.

“Hari ni Edy dapat surat daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7, seorang negarawan yang sangat Edy sanjungi dan hormati.

“Terima kasih Tun sudi kirim surat untuk Edy, tidak sangka dapat surat daripada Tun, semoga Tun sihat selalu, panjang umur dan bahagia sentiasa bersama keluarga tersayang,” katanya.

Dalam surat tersebut, Dr. Mahathir menzahirkan penghargaan kepada Adrian atas kata-kata serta doa yang disampaikan terhadap dirinya.

Bekas Perdana Menteri itu pada masa sama membalas doa berkenaan dengan mendoakan kesejahteraan Adrian serta keluarganya.

“Saya ucap terima kasih atas penghargaan yang diberikan terhadap khidmat saya serta doa yang dipanjatkan untuk kesejahteraan saya.

“Saya doakan kesejahteraan buat Adrian dan keluarga,” tulis Dr. Mahathir dalam surat berkenaan.

Surat berkenaan disampaikan menerusi Yayasan Kepimpinan Perdana bersama surat iringan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Sulit kepada Dr. Mahathir, Tan Sri Badariah Arshad.

Berdasarkan surat iringan itu, ia merupakan maklum balas kepada e-mel Adrian bertarikh 12 Ogos lalu sebelum surat daripada Dr. Mahathir dihantar kepadanya untuk makluman.

Adrian dalam hantarannya turut sekali lagi menyampaikan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Dr. Mahathir kepada negara.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan Tun ke atas negara Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Adrian merupakan aktivis sosial dari Sabah yang dikenali ramai menerusi kegiatan kebajikan dan usahanya membantu golongan kurang berkemampuan serta keluarga yang berdepan kesusahan.

Anak kelahiran Papar itu mula aktif menjalankan kerja kebajikan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 apabila ramai keluarga terjejas dari segi pendapatan dan keperluan harian.

Usaha kebajikannya kemudian mendapat perhatian ramai menerusi media sosial apabila dia kerap turun padang menjejaki dan membantu keluarga memerlukan termasuk di kawasan pedalaman Sabah.- KOSMO! ONLINE

The post ‘Tak sangka dapat surat daripada Tun M’ appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved