Tak Sangka Markas UMNO Jadi Tempat Penyatuan Parti Kerajaan Perpaduan - Fadhlina

Politics
14 May 2023 • 6:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fadhlina berkata perhimpunan di bangunan yang menempatkan ibu pejabat UMNO dan BN itu menggambarkan kekuatan sayap wanita parti dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan budaya. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek tidak menyangka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang merupakan markas musuh lamanya iaitu, UMNO menjadi tempat penyatuan semua parti kerajaan Persekutuan, menerusi penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, perkara itu secara tidak langsung mencerminkan kesatuan seluruh gagasan tersebut serta persediaan lebih kukuh bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat. 

Menurut beliau, perhimpunan di bangunan yang menempatkan ibu pejabat UMNO dan BN itu juga menggambarkan kekuatan sayap wanita parti dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan budaya.

“Rakan-rakan seperjuangan, tidak tergambar dewan bermastautin UMNO dan BN ini bermukimnya kekuatan Wanita Perpaduan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang hadir pada hari ini.

"Bawa pulang apa yang dilontarkan dalam perhimpunan ini kepada rakyat supaya mereka tahu komitmen kerajaan membela nasib rakyat. Ayuh juga pulang dengan penuh iltizam untuk menang di enam negeri pada PRN,” katanya ketika menyampaikan perbahasan dalam bicara wanita sempena Konvensyen Wanita Perpaduan di WTCKL, hari ini. 

image is not available
Fadhlina Sidek

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menyeru agar setiap jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan terus menyantuni rakyat bagi memastikan kemenangan dalam PRN nanti.

Jelas Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, semua pihak perlu menunjukkan kesediaan bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi rakyat.

“Tujuan kita berhimpun hari ini adalah untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa kita bersedia berkhidmat dan memastikan kemenangan PRN di enam negeri.

“Pastikan puan-puan turun ke akar umbi untuk berjumpa rakyat, ketuk setiap pintu, ketuk hati rakyat serta berikan jaminan bahawa ini adalah kerajaan terbaik dan paling stabil untuk mengembalikan keyakinan masyarakat,” katanya. 

image is not available
Salah seorang delegasi tekun mendengar ucapan pada Konvensyen Wanita Perpaduan di WTCKL.

Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan komited dalam memastikan kemiskinan di kalangan rakyat dinoktahkan. 

Malah, katanya, enam rukun dalam konsep Kerajaan MADANI juga menjelaskan tiada rakyat akan dipinggirkan dalam usaha kerajaan menoktahkan masalah kemiskinan di negara ini.

"Apa yang termasuk dalam agenda ialah memastikan pembangunan sekolah daif diberikan keutamaan dalam sektor pendidikan negara. Seluruh anak bangsa tanpa kira agama, bangsa dan kawasan mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

"Malah, agenda ini juga termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana, peruntukan untuk sekolah daif turut diberikan kepada Sabah dan Sarawak," katanya. - Getaran, 14 April 2023.