SUNGAI PETANI – Hasrat 21 warga asing untuk menghabiskan cuti hujung minggu tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan Ops Kutip di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Ahad.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seramai 127 warga asing telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa.
"Sebahagian daripada warga asing yang diperiksa cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, cubaan tersebut gagal apabila kawasan operasi telah dikepung dan dikawal rapi oleh anggota bertugas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, operasi dijalankan hasil aduan orang ramai berhubung kehadiran warga asing yang menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung, terutama pada hujung minggu.
Tambahnya, imigresen akan terus mempergiatkan operasi dan pemeriksaan berkala di seluruh negeri bagi membendung isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI)
“Namun, ingin ditegaskan bahawa tidak semua warga asing adalah PATI. Hasil pemeriksaan mendapati hanya 21 daripada 127 individu yang diperiksa melanggar peruntukan undang-undang,” ujarnya.

