
Kuala Lumpur: Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan PAS berhubung tidak perlunya jawatan timbalan perdana menteri (TPM) sehingga tiga orang hanya merupakan pandangan parti berkenaan.
Beliau yang juga naib presiden Umno berkata partinya dan Barisan Nasional (BN) mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Itu pandangan daripada PAS, biarlah PAS dengan pandangan dia. Kita dengan pandangan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program Ekspresi @ Finas di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Semalam, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu mengesyorkan agar tiga jawatan TPM dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.
Zahid berkata, jawatan kedua tertinggi kerajaan itu dicadang diisi oleh wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, jika BN mendominasi kemenangan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan jawatan TPM diisi lebih seorang calon termasuk daripada Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji ‘mi segera’ kumpulan terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya.
Ismail menambah, BN masih lagi belum mempunyai calon untuk jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak.
“Tak tahu lagi, biar kita menang pilihan raya dahulu. Kalaulah perkara ini di dalam manifesto kita, tentu sahaja kita akan pastikan ia dilaksanakan.
“Bagaimanapun, tunggu lepas kita menang dahulu. Selepas itu kita bincang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail mempertimbangkan cadangan untuk memberi royalti kepada pelakon di dalam negara ini.
Beliau berkata sedang berbincang sama ada perlu meminda akta yang ada bagi melaksanakan cadangan itu.
“Seperti kita tahu, pelakon-pelakon atau apabila berlakon, mereka terima bayaran secara ‘one off’.
“Filem untung banyak dan ditayang banyak kali di dalam TV pun tidak dapat apa-apa hasil seperti royalti,” katanya.
Beliau berkata jika dapat diberi royalti kepada mereka, dapat membantu mereka pada usia tua nanti.
“Saya panggil beberapa penggiat seni untuk bincang. Ramai kalangan artis-artis filem sudah berumur hadapi masalah untuk sara hidup sebagainya.
“Kalau dapat royalti berterusan, tentu boleh mampu jaga kepentingan mereka di hari tua,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, beliau juga akan melihat secara menyeluruh mengenai cadangan supaya pelajar dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung untuk diberikan bantuan seperti diskaun tiket kapal terbang untuk balik mengundi pada PRU15.
“Kita tengok secara menyeluruh,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
