Tak Usah Salahkan 12 Menteri, Memang Pun UMNO Hendak PRU Awal 

Politics
13 Oct 2022 • 10:09 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tun Mahathir Mohamad - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta tidak menyalahkan tindakan 12 menteri Kabinet mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, yang dikatakan membawa kepada pembubaran Parlimen. 

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana UMNO sememangnya mahu pilihan raya umum diadakan lebih awal. 

“Memang pun UMNO yang hendak PRU awal. Pedulikan banjir. Yang penting ialah UMNO menang dan penjenayah-penjenayah elak dari dihukum segera.,” katanya menerusi laman Facebook. 

Dr Mahathir menambah, walaupun Perdana Menteri berhak membuat keputusan sendiri tetapi dalam sebuah kerajaan campuran merangkumi pengetahuan dan persetujuan, parti komponen berhak memberi pandangan mereka. 

Kelmarin, Ismail Sabri dalam kenyataan medianya menyifatkan tindakan 12 menteri yang mengutuskan surat kepada Al-Sultan Abdullah baru-baru ini menjejaskan keharmonian dalam kabinet.

Perdana Menteri berkata, tindakan semua menteri berkenaan jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang diperkenan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Oleh itu beliau menjelaskan, pembubaran Parlimen dilakukan bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran.

Minggu lalu, sejumlah 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dilaporkan menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan rasa tidak setuju untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Pada 10 Oktober lalu, Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan, untuk memberi laluan kepada PRU-15. 

Susulan pembubaran, banyak pihak meluahkan kekhuatiran sekiranya berlaku bencana banjir yang lazimnya melanda setiap akhir tahun, sekali gus merisikokan rakyat dan pengundi- Getaran, 13 Oktober 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved