​'Tak wajar tuntut kerusi tapi tak boleh menang' - Rozi

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rozi (gambar kecil) menjelaskan kedudukan kerusi dalam BN mahupun melibatkan parti gabungan yang lain masih belum diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

HULU TERENGGANU – UMNO Terengganu menegaskan soal pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sekadar memenuhi hasrat parti semata-mata sebaliknya mestilah berpaksikan kepada jaminan kemenangan.

​Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, tuntutan untuk bertanding di mana-mana kawasan tidak menjadi masalah, namun setiap parti perlu bersikap realistik bagi mengelakkan kerugian kepada gabungan.

​"Setiap parti ada hasrat masing-masing, UMNO juga ada hasrat kita. Soal tuntutan kita terbuka dan boleh bincang pro dan kontra, tetapi yang penting kita mesti menang pada PRU16.

​"Bukan soal kerusi semata-mata. Tidak wajar jika hanya mahukan kerusi tetapi tidak boleh menang," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

​Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan parti dan agihan kerusi menjelang pilihan raya akan datang.

​Mengulas lanjut, Rozi menjelaskan kedudukan kerusi dalam Barisan Nasional (BN) mahupun melibatkan parti gabungan yang lain masih belum diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

​Jelasnya, UMNO Terengganu mempunyai sistem organisasi yang tersusun dan akan akur dengan sebarang ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa yang telah ditetapkan.

​"Setakat ini belum diputuskan lagi berapa jumlah kerusi bagi setiap negeri. UMNO Terengganu tiada masalah dan bergantung kepada Jawatankuasa tertinggi untuk membuat keputusan agihan, sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen," jelasnya.

​Ditanya mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada PRU16, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu melibatkan keputusan di peringkat nasional.

​"Saya di peringkat negeri, sekarang kita masih bersama Kerajaan Perpaduan dan saya akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan parti," katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai fokus mesyuarat UMNO bermula 1 April lalu yang menekankan pengukuhan teras permuafakatan dan keharmonian dalam kalangan ahli.

​"Jika kita tumbang (tidak harmoni), kita tidak boleh fokus kepada PRU16. Sebab itu permuafakatan ini perlu diperkukuhkan lagi," tambahnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan PKR Terengganu menuntut supaya pengagihan kerusi seimbang pada PRU16.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri, Datuk Azan Ismail berkata, semua kepimpinan parti komponen kerajaan perpaduan termasuk PH dan Barisan Nasional (BN) disaran mengaktifkan jentera pilihan raya dengan kadar segera terutamanya di peringkat akar umbi.

Katanya, semua pimpinan parti dalam komponen kerajaan perpaduan perlu bekerjasama dan memberi keutamaan kepada perundingan, terutama mengenai pengagihan kerusi dengan kadar segera.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bandar berkata, semua pimpinan parti dalam komponen PH diminta menghentikan mengeluarkan kenyataan akan bertanding secara solo dan bersendirian pada PRU akan datang.

Katanya, pemimpin semua parti dalam komponen kerajaan perpaduan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran bahawa kerjasama tidak wujud dalam gabungan tersebut.

View Original Article