Takaful Malaysia Catat Pendapatan Lebih RM800 Juta Pada Suku Kedua

LocalBusiness & Finance
30 Aug 2024 • 8:01 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan prestasi kewangan yang sihat dan pertumbuhan konsisten pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024.

Takaful Malaysia catat pendapatan lebih RM800!

Ia mencatatkan peningkatan dalam pendapatan takaful kepada RM862.5 juta bagi suku kedua dalam tempoh tinjauan, berbanding RM717.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pihaknya terus mengekalkan kedudukan kukuh dalam industri insurans dan takaful yang kompetitif untuk mencapai keputusan kewangan berdaya tahan pada separuh pertama tahun ini.

image is not available

Foto: Carian google

“Kami mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM286.9 juta untuk setengah tahun berakhir 30 Jun 2024, meningkat sebanyak 10% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM261.4 juta.

“Ini disebabkan oleh margin perkhidmatan kontraktual (CSM) serta keuntungan yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful am kami.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain mengukuhkan operasi dan perniagaan teras pihaknya dalam bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, mereka terus memberi tumpuan bagi memperluaskan perniagaan takaful am melangkaui segmen motor.

image is not available

Foto: NST

“Kami juga mempelbagaikan portfolio dalam pasaran runcit melalui penawaran produk yang komprehensif dan mampu milik untuk memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan, sekali gus mencapai matlamat perniagaan jangka panjang,” ujarnya.

Untuk makluman, keuntungan Takaful Malaysia selepas zakat dan cukai bagi setengah tahun berakhir 30 Jun 2024 meningkat kepada RM196.0 juta daripada RM185.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Nor Azman berkata sempena ulang tahun ke-40 syarikat dan sebagai perintis dalam industri insurans patuh shariah, pihaknya kekal berdaya saing untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran runcit melalui platform dan jenama digital, Kaotim yang menawarkan rangkaian perlindungan komprehensif dan mampu milik serta mudah diakses.

image is not available

Foto: BERNAMA

“Kami sentiasa berusaha untuk menghasilkan prestasi mampan dalam portfolio perniagaan teras kami, sekaligus menyelaraskan pertumbuhan dengan tanggungjawab alam sekitar untuk memberikan nilai yang konsisten kepada para pemegang kepentingan kami.

“Kami komited kepada agenda digital kami, yang merangkumi integrasi teknologi, mengoptimumkan operasi perniagaan kami serta meningkatkan pengalaman pelanggan—yang memainkan peranan penting untuk memastikan kemampanan masa depan perniagaan kami,” katanya lagi.