Takaful Malaysia sumbang perkakas rumah kepada 64 pelajar asnaf

23 Jun 2023 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Takaful Malaysia sumbang perkakas rumah kepada 64 pelajar asnaf

zulfadli

23/06/2023 - 17:57

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyumbang perkakas rumah kepada seramai 64 pelajar asnaf Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama di Sungai Buloh, Selangor.

Perkakas rumah yang disumbangkan adalah sebahagian daripada aktiviti melibatkan komuniti oleh Takaful Malaysia di bawah inisiatif CSR syarikat untuk membantu pelajar asnaf serta keluarga mereka yang kurang berkemampuan untuk menerima bantuan zakat, dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Takaful Malaysia, Siti Hajar Rizlan berkata, sebagai pengendali takaful, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan dalam masyarakat.

Beliau berkata, sumbangan perkakas rumah kepada pelajar asnaf dan keluarga mereka adalah salah satu program yang kami anjurkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang layak dan memerlukan sebagai penerima zakat.

Katanya, pihaknya telah memperuntukkan dana zakat untuk program ini bagi pembelian perkakas rumah terpilih untuk kegunaan harian para pelajar asnaf dan keluarga mereka.

"Setiap pelajar asnaf dan keluarga mereka akan menerima sebuah periuk nasi, kipas angin dan dapur gas. Melalui inisiatif ini, kami ingin menghulurkan bantuan sekali gus memberi kemudahan kepada pelajar asnaf dan keluarga mereka dalam menjalani urusan harian," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Siti Hajar, program CSR ini merupakan satu inisiatif murni bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial yang meluas demi kehidupan yang lebih baik kepada pelajar asnaf dan keluarga mereka.

image is not available
Siti Hajar Rizlan (kanan) dan Pengetua SK Saujana Utama, Zazaluma Harun (kiri) menyerahkan barangan elektrik kepada seorang pelajar asnaf di Sungai Buloh, Selangor pada 23 Jun 2023.

Katanya, aktiviti CSR ini adalah salah satu cara mereka mendekati golongan yang memerlukan, dan program ini selaras dengan falsafah korporatnya untuk meningkatkan taraf hidup dan memupuk sifat penyayang dalam masyarakat.

"Matlamat kami adalah untuk menggalakkan kualiti hidup yang lebih baik untuk komuniti di sekeliling kami di samping memberi nilai kepada pemegang kepentingan kami.

"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, Takaful Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam menyemai amalan saling membantu, dan kami akan terus menyokong inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya. - DagangNews.com