‘Takde’ Masa Layan Serangan Pembangkang, Sekarang Masa Jelaskan Manifesto - Tok Min

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 9:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Takde’ Masa Layan Serangan Pembangkang, Sekarang Masa Jelaskan Manifesto - Tok Min

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) tidak akan melayan serangan politik atau tuduhan yang disifatkan berunsur fitnah sepanjang baki tempoh berkempen.

Sebaliknya, gabungan berkenaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha menjelaskan manifesto serta tawaran kepada rakyat.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai serangan dilemparkan terhadap beliau termasuk dakwaan dirinya  merupakan ‘boneka DAP’.

“Serangan itu tidak memberi kesan kepada kami. Apa yang kami tawarkan kepada rakyat telah diterjemahkan menerusi manifesto.

“Itu jauh lebih penting daripada melayan andaian dan fitnah yang dibuat oleh pihak pembangkang,” katanya hari ini.

Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min berkata, barisan calon yang diketengahkan PH pada pilihan raya kali ini memiliki pengalaman dan kemampuan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri sekiranya gabungan itu sekali lagi diberi mandat. 

Beliau turut yakin rakyat mampu menilai sendiri rekod pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan prestasi serta tawaran yang dikemukakan.

“Perdana Menteri telah beberapa kali mengumumkan secara terbuka bahawa saya ialah calon Menteri Besar, jadi saya perlu bekerja bukan 100 peratus, tetapi 200 peratus bersama seluruh pasukan bagi memastikan kemenangan PH.

“Saya akan memastikan kita terus mencatat kemajuan. Saya melihat calon-calon PH kali ini mempunyai keupayaan untuk bersaing berdasarkan pengalaman dan kebolehan masing-masing.

“Mereka mampu melaksanakan hasrat rakyat serta memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya, Insya-Allah,” katanya.

Mengulas sama ada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta naratif ‘Gelombang Melayu’ mampu memberi ancaman kepada PH di Negeri Sembilan, Aminuddin tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Bukan bermakna tiada pengaruh, namun saya fikir rakyat Negeri Sembilan mampu membuat penilaian sendiri. Saya melihat perkara itu agak neutral di Negeri Sembilan.

“Mungkin ada ancaman, tetapi sebesar mana ancaman itu, kita masih belum tahu. Kita sudah lama mendengar mengenai ‘Gelombang Melayu’ ini, termasuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun kita perlu melihat sejauh mana kekuatannya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Aminuddin berkata, beliau telah menjangka PAS bakal meneruskan langkah mengarahkan ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN sebagaimana dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

“Kami memang sudah menjangkakan pengumuman itu dibuat dan saya berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan kenyataan berkenaan kerana kami mempunyai identiti serta maruah sendiri,” katanya. - Getaran, 23 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved