DALAM wacana masyarakat, kita selalu mendengar dan berbalah tentang kerajaan, parti dan pemimpin. Hingga kita terlupa atas semua kebisingan itu, negara ini sebenarnya berdiri atas satu kerangka yang lebih besar dan lebih tua daripada kewujudan parti politik yang ada hari ini. Kerangka itu ialah sistem institusi beraja.
Ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, para pengasas negara memilih mengekalkan institusi beraja yang sebahagian identiti politik dan ketamadunan Tanah Melayu, lalu menggabungkannya dengan sistem demokrasi moden memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan.
Daripada gabungan itu lahirnya sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen asas pembinaan negara ini. Sistem beraja bukan sahaja dikekalkan di peringkat negeri melalui sembilan Raja Melayu, malah diperkukuhkan peringkat Persekutuan melalui pewujudan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Utama Negara.
Ketika banyak negara memilih mengecilkan peranan monarki selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia sebaliknya meletakkan institusi raja sebahagian daripada struktur negara moden. Maka lahirlah satu sistem di mana sebuah negara demokrasi dipilih rakyat, tetapi pada masa sama dipayungi institusi YDPA sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan kesinambungan negara.
Inilah keunikan dan keistimewaan Malaysia. Kerajaan boleh bertukar, parti politik boleh menang dan kalah, Perdana Menteri boleh datang dan pergi namun, institusi YDPA kekal sebagai payung kepada keseluruhan sistem kenegaraan.
Atas sebab itulah institusi YDPA tidak boleh difahami sekadar simbol istiadat atau penghias majlis rasmi negara. Perlembagaan memberikan baginda tanggungjawab jauh lebih besar. Baginda berperanan sebagai tonggak kestabilan negara, sumber legitimasi pemerintahan, lambang perpaduan rakyat serta antara mekanisme semak dan imbang dalam sistem pentadbiran negara.
Dalam kebanyakan urusan pentadbiran negara, YDPA bertindak atas nasihat kerajaan memerintah. Namun dalam masa sama, baginda turut mempunyai ruang budi bicara tertentu yang diperuntukkan Perlembagaan bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Sebab itulah institusi YDPA memerlukan barisan penasihat jujur, amanah, ikhlas dan bertanggungjawab dalam mempersembahkan nasihat serta maklumat tepat kepada baginda. Hari ini, tanggungjawab itu dipikul kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anggota Kabinetnya.
Hubungan ini menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen terus berfungsi dengan berkesan. Malah, rakyat Malaysia menyaksikan bagaimana fungsi tersebut dimainkan ketika negara berhadapan krisis politik antara tahun 2020 hingga 2022.
Kerajaan bertukar tanpa pilihan raya. Perdana Menteri meletakkan jawatan. Ketidaktentuan politik berlaku ketika negara sedang bergelut menghadapi Covid-19.
Ketika itu, perhatian negara tertumpu kepada Istana Negara. Ketika parti-parti politik gagal mencapai kesepakatan, institusi YDPA memainkan peranan diperuntukkan Perlembagaan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara berjalan dengan tertib dan aman.
Peristiwa itu pertama kalinya dalam sejarah moden negara, rakyat melihat lebih jelas bagaimana institusi raja berperlembagaan berfungsi sebagai penimbang tara ketika berlaku kebuntuan politik yang tidak mampu diselesaikan melalui jalan politik.
Ia juga membuktikan para pengasas negara tidak mengekalkan institusi beraja semata-mata atas alasan tradisi atau nostalgia sejarah. Mereka memahami akan tiba saat tertentu dalam perjalanan negara apabila kestabilan politik memerlukan kewujudan satu institusi berada di atas kepentingan parti, kelompok dan percaturan kuasa.
Malangnya, dalam era media sosial hari ini, masih ada yang gagal memahami kedudukan tersebut. Budaya memperlekeh, menghina dan mempersendakan institusi negara semakin mudah tersebar. Sedangkan, memahami, menghormati dan memelihara institusi yang menjadi tunjang negara adalah tanggungjawab setiap warganegara.
Kemuliaan takhta bukan soal mengagungkan individu. Sebaliknya, kemuliaan takhta berkait secara langsung kewibawaan sistem yang selama ini membantu memayungi negara. Malah, mempertahankan institusi YDPA bukan bermaksud menolak demokrasi. Sebaliknya, ia sebahagian usaha mempertahankan demokrasi itu sendiri.
Sehingga hari ini, ketika badai politik datang silih berganti, institusi itulah yang terus berdiri sebagai salah satu tiang seri yang memegang negara ini agar tidak rebah.
Dirgahayu Tuanku!
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya

