'Takkan asyik berpolitik 24 jam!' - Abdul Rahman

Politics
8 Jan 2023 • 11:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abdul Rahman

KOTA KINABALU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan tindakan pihak yang sentiasa berpolitik ketika rakyat Sabah bergelut dengan cabaran kehidupan dan ekonomi ketika ini.

Dalam hantaran terbaharu di akaun rasmi Facebook beliau berkata, rakyat Sabah berhak untuk mendapatkan kestabilan politik di negeri itu.

"Apakah tiada langsung, walaupun sekelumit, perasaan simpati kepada rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan cabaran kehidupan dan ekonomi? Takkan asyik berpolitik 24jam!

"Rakyat Sabah pun berhak mendapat kestabilan politik. Mereka berhak untuk mendapat ruang untuk bernafas dari semua kekalutan politik. Mereka marah, mual dan muak dengan politik," katanya pada Ahad.

Beliau turut berkata, demokrasi memerlukan kesabaran ketika berpolitik.

"'Kesabaran' dalam berpolitik adalah tuntutan demokrasi. Ianya salah satu tiang seri demokrasi. Kalau tiada kesabaran, demokrasi akan pincang," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu dipercayai meluahkan perasaannya berikutan pergolakan politik yang melanda Sabah walaupun baru dua tahun kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Barisan Nasional (BN) ditubuhkan.

Ia dipercayai berkaitan dengan cubaan pihak tertentu yang ingin menumbangkan kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor ketika ini.

Sabah sekali lagi berhadapan dengan pergolakan politik selepas Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat mengumumkan bahawa BN dan UMNO Sabah menarik semula sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Tindakan itu sekali gus menyebabkan timbul dakwaan bahawa Hajiji telah kehilangan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved