
SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki optimis bahawa beliau dalam senarai yang akan bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Asyraf secara berseloroh berpandangan tidak mungkin beliau yang menjawat Ketua Pemuda UMNO akan dipinggirkan dalam pilihan raya pada 19 November depan.
“Insya-ALLAH. Saya rasa takkanlah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dipinggirkan. Tapi apapun, saya bersedia.
“Kalau dikatakan saya tidak bertanding, bagi saya mungkin ada hikmah dan saya harus menggerakkan jentera pemuda seperti mana saya menggerakkan dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Yang penting parti kena menang, soal individu itu nombor dua,” katanya ketika menjadi panel dalam Agenda Awani ‘PRU15: Tiga Penjuru BN-PN-PH, Anak Muda Pilih Mana?’ yang disiarkan di Astro Awani pada Khamis.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, semenjak menjawat jawatan berkenaan selama lebih empat tahun, fokusnya adalah gerak kerja bagi merejunivasi, menambah baik dan memastikan UMNO kembali kepada asas perjuangannya.
“Dan yang mampu membawa kepada asas perjuangannya sudah tentu generasi pelapis. Kalau parti ini dipalitkan dengan pelbagai persepsi seperti salah guna kuasa, persepsi rasuah, penyelewengan, ya UMNO dan BN bukannya sempurna. Kita adalah manusia biasa.
“Ada sedikit sebanyak kelemahan di sana sini tetapi untuk memastikan parti ini terus berperanan penting. Jadi parti ini mesti kembali ke landasan perjuangan. Siapa yang akan membawanya kalau bukan generasi pelapis,” ujarnya.
Asyraf turut menegaskan bahawa beliau konsisten agar UMNO menampilkan lebih ramai muka-muka baharu dalam kalangan golongan muda.
“Saya konsisten. Setiap kali PRN bermula Sabah, Melaka dan Johor sentiasa memperjuangkan supaya parti ini menampilkan lebih ramai muka-muka baharu dalam kalangan anak muda, mereka yang tidak terpalit dengan apa juga persepsi dan tohmahan ditampilkan,” katanya.

