Taktik edar dadah dalam sampul duit terbongkar

LocalPolitics
23 Dec 2024 • 11:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Raub (tengah) menunjukkan rampasan dadah hasil tiga sebuan di Taman Pelangi Johor Bahru pada Sabtu.

image is not available
Raub (kanan) menerangkan modus operandi sindiket dadah ketika sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Taktik sindiket menyembunyikan dadah jenis serbuk ekstasi di dalam sampul kertas mata wang asing sebelum diedarkan kepada pelanggan di kelab-kelab malam, berjaya dipatahkan hasil tiga serbuan di Taman Pelangi, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan terbabit dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan

Katanya, menerusi serbuan itu dua lelaki tempatan berusia 33 dan 40 tahun ditahan bersama rampasan serbuk ekstasi seberat 1,246.50 gram(g) bernilai RM208,161.

“Suspek yang berusia 33 tahun ketika sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak manakala seorang lagi tangkapan dilakukan di tepi jalan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

"Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Johor Bahru Selatan di sini, pada Isnin.

**media[2938359]**

Menurut Raub selain ekstasi, pihaknya turut merampas 25.10 g pil erimin 5 bernilai RM1,800, 3.80g ketamin bernilai RM760 dan wang tunai RM120 serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Jika sekali pandang kita ingat duit kerana ekstasi ini diisikan dalam sampul kertas mata wang antarabangsa, mata wang dollar. Dijual pada harga RM150 hingga RM200 untuk satu sampul.

"Selain itu dadah ekstasi ini juga dijual dalam bentuk jus minuman dan ketamin pula dalam pakej plastik kecil dijual pada harga RM760," katanya.

Raub berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menjadikan rumah teres dan kereta sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Jelasnya, sindiket beroperasi sejak Oktober lalu dan bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dan diedar di negeri ini.

Ditanya sama ada masih terdapat saki baki ahli sindiket tersebut, Raub memberitahu siasatan masih dilakukan dan tidak menolak kemungkinan masih ada rakan suspek yang masih bebas.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 28 Disember.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan," ujarnya.