PASIR GUDANG - Taktik sebuah premis makanan menggunting minyak masak peket bersubsidi sebelum memindahkannya ke dalam botol terbongkar dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor di Taman Megah Ria di sini Khamis lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu dilakukan dengan kerjasama KPDN Melaka selepas menerima maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis menggunting peket minyak masak bersubsidi sebelum dituangkan ke dalam botol dipercayai bagi kegunaan operasi perniagaan.
"Pegawai penguat kuasa turut menemui peralatan seperti gunting, corong dan botol yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan di dalam premis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
**media[3487986]**
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu gula, minyak masak peket dan tepung gandum tanpa permit sah.
Katanya, seorang lelaki yang juga pengurus premis ditahan bagi membantu siasatan.
"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita minyak masak peket bersubsidi, gula, tepung gandum serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyelewengan.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.
Katanya, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.

