MERSING – Tindakan segelintir majikan dan penduduk tempatan dipercayai bertindak sebagai perantara bagi menyembunyikan identiti sebenar penyewa yang merupakan warga asing terbongkar dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.
Operasi dijalankan di tapak pembinaan, rumah dan premis perniagaan itu membawa kepada penahanan 21 pekerja warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut yang dilakukan pukul 10 pagi, Sabtu lalu melibatkan sembilan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Cawangan Mersing.
**media[3484466]**
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi yang dijalankan ke atas beberapa rumah kediaman dan premis perniagaan berjaya menahan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dalam serbuan tersebut mendapati, sebahagian majikan dan individu tempatan bertindak sebagai perantara dalam urusan sewaan bagi menyorokkan indentiti sebenar penyewa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, warga asing yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dewasa warganegara Indonesia dan tujuh lelaki dewasa warganegara Bangladesh yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun.
"Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya lagi.
**media[3484468]**
Selain itu kataya, sebanyak empat keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
“JIM Johor menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
